KUALA LUMPUR – Menjelang perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 2022 pada malam Sabtu 26 November 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, dua pasukan unggul iaitu Johor Darul Ta’kzim dan Selangor FC bakal berentap dalam final merebut gelaran berprestij negara dan kejohanan tertua di Asia itu kali ini.

Final TM Piala Malaysia kali ini umpama hidup atau mati dan soal maruah untuk kedua-dua pasukan gergasi itu untuk menunjukkan kekuatan masing-masing berebut gelaran juara Piala Malaysia.

Bagi Johor yang terkenal dengan jolokan Southern Tigers pernah menjulang gelaran itu pada 2017 dan 2019 namun dikecewakan pada tahun 2021 oleh Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 2-0 dan sekadar muncul Naib Juara.

Kali ini bagi menebus kekecewaan yang dialami musim lalu, JDT turun dengan misi untuk merampas semula gelaran itu dan mahu mencipta hatrik selepas menjulang gelaran Piala FA dan Liga Super musim ini.

Dalam aksi separuh akhir pada 20 November lalu, JDT menepati ramalan mara ke final TM Piala Malaysia 2022 selepas menewaskan Sabah FC 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

JDT yang sudah berusia lapan tahun dalam beraksi dalam kancah liga domestik dilihat sangat optimis untuk melakar kejutan terhadap Selangor yang merupakan pemegang rekod bergelar juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali.

Manakala bagi Selangor yang kini dikemudi Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe turun dengan misi untuk menamatkan bagi tujuh tahun untuk merangkul gelaran itu menjadi milik Red Giants semula.

Kali terakhir Selangor menjulang Piala Malaysia adalah pada tahun 2015 dengan menundukkan Kedah 2-0.

Bagaimanapun, misi mempertahankan gelaran itu berkecai selepas Kedah membalas dendam Sengor atas kekalahan mereka kepadanya dalam final 2015 apabila bangkit pada 2016 dan menewaskan mereka menerusi sepakan penalti 6-5 selepas terikat 1-1 pada 90 minit pertama.

Selepas kekalahan itu, selama tujuh tahun lalu Selangor gagal berentap di pentas final tetapi tahun ini berjaya mara ke perlawanan akhir dan bakal bertemu JDT malam esok.

Atas kertas Selangor turun sebagai skuad underdog walaupun mempunyai sejarah pemenang paling banyak edisi itu.

Dalam aksi separuh akhir kedua pada 22 November lalu, Selangor FC berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan keputusan agregat 3-2 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA). – MalaysiaGazette