Dr. Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin menyifatkan apa yang berlaku kepada Perikatan Nasional (PN) kerana tidak dapat membentuk kerajaan, ada hikmahnya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, parti tidak boleh berputus asa, namun akan bergerak bersama ke depan meneruskan perjuangan yang belum selesai.

Katanya, beliau masih bersemangat kerana gelombang sokongan luar biasa ahli-ahli parti  terhadap PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

“Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kita terus bergerak bersama ke depan dan teruskan perjuangan, tambahan pula gelombang sokongan kepada PN amat luar biasa,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.

Menurut bekas Menteri Kanan Pendidikan itu, berdasarkan fakta sepertimana disebut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, gabungan itu telah mengemukakan Akuan Bersumpah (SD) daripada lebih 112 Ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kata beliau, jumlah itu telah memberi kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 21 November lalu, tetapi tidak berlaku.

“Ramai dalam kalangan sahabat penyokong PN menyatakan kesedihan mereka apabila PN tidak dapat membentuk kerajaan.

“Ini termasuklah penjawat awam yang bersama-sama memberi dukungan kepada kami, khususnya di Putrajaya,” katanya.

Namun, Radzi meminta semua ahli dan penyokong PN tidak usah bersedih kerana api perubahan dan kebangkitan rakyat akan terus disemarakkan.

Jelas beliau, perjuangan membina Malaysia yang lebih gemilang berpaksikan prihatin, bersih dan stabil tidak akan terhenti hari ini. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. harap Jidin bawa suara kakitangan awam dan cuepacs dalam parlimen untuk membela kerakusan PH yang anti terutama SPRM yang mahu di ugut.

Comments are closed.