Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah yang lain selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Putra, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2022.

GEORGE TOWN – Kembalikan kegemilangan negara bukan saja dari segi ekonomi malah kemajmukan serta keakraban rakyat pelbagai kaum menjadi harapan rakyat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 semalam.

Tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati kebanyakan anak muda mahu kadar pengangguran dikurangkan selain pembentukan Kabinet yang inklusif.

Farid Maulud, 25, berkata, sebagai golongan muda serta graduan baharu dia mengharapkan Perdana Menteri memperkenalkan skim pembangunan keusahawanan (petani muda) dengan syarat yang lebih longgar berbanding syarat Agroprenuer muda yang sangat rumit ketika ini.

Farid.

Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, pengurangan kadar pengangguran dalam kalangan belia terutamanya mereka yang melanjutkan pelajaran daripada diploma dan ijazah pertama perlu menjadi fokus Anwar dalam tempoh pemerintahan.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan diatas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10, sebagai anak muda saya harap pentadbiran dibawa beliau memperkukuhkan kedudukan mata wang dengan bantuan pelabur luar.

“Selain itu, pembangunan usahawan petani muda antara inisiatif yang harus difokuskan agar kebergantungan kerajaan terhadap bahan mentah import yang boleh memutuskan rantaian makanan ternakan dapat dikawal selepas ini.

“Malah, saya harap kerajaan juga boleh memanfaatkan tanah-tanah kosong setiap negeri dengan usahasama kerajaan negeri supaya geran petani muda boleh dimanfaatkan bagi golongan belia yang minat menceburi bidang ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kean Hooi.

Menurut Teh Kean Hooi pula, Perdana Menteri harus membentuk Kabinet yang inklusif dengan melantik menteri berdasarkan meritokrasi.

“Sebagai rakyat Pulau Pinang saya harap peluang pekerjaan wujud di semua negeri bukan hanya difokuskan di ibu negara saja.

“Selain itu, saya juga berharap kerajaan pusat di bawah pimpinan Anwar akan membantu melaksanakan projek Transit Aliran Ringan (LRT) bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di sini kerana ia memberi impak kepada masyarakat tak kira muda atau tua,” katanya.

Hooi Kun.

Bagi Ng Hooi Kun, 56, dia mengharapkan kerajaan baharu ini dapat mengekalkan keamanan sekali gus mengembalikan kegemilangan rakyat majmuk yang saling menghormati antara satu sama lain.

“Rakyat beri peluang untuk beliau (Anwar) mengemudikan negara dan kita harap ia akan dimanfaatkan sepenuhnya seperti mana yang dijanjikan sebelum ini.

“Saya rindu merasai kemesraan rakyat pelbagai bangsa di negera ini, jadi kita harap Anwar bukan fokus isu ekonomi saja malah  satukan semula rakyat,” katanya.

Turut berkongsi pandangan sama, Muhammad Daaneiil Abdul Malik, 26, berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini dia yakin Anwar mampu membawa negara ke arah lebih baik.

Muhammad Daaneiil.

“Ekonomi kita teruk sekarang hingga beri impak kepada kos sara hidup jadi kita harap beliau tangani soal ekonomi dalam tempoh pentadbiran ini,” katanya yang menguruskan peniagaan vape.

Hema Barathi.

Sementara itu, bagi K. Hema Barathi, 46, berkata, pimpinan Perdana Menteri baharu harus lebih kepada memperbaiki negara daripada mendedahkan skandal atau sebarang isu bermotifkan dendam politik.

“Cukuplah kerajaan-kerajaan sebelum ini buat macam itu. Kini rakyat sudah bijak untuk menilai siapa mereka dan ia terbukti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 jadi besar harapan kita agar beliau (Anwar) mengemudikan negara secara profesional.

“Fokus memajukan negara, tangani kemiskinan, soal pendidikan lebih diharapkan dalam pimpinan Anwar,” katanya. – MalaysiaGazette