Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama jemaah yang lain menunaikan solat jumaat di Masjid Putra, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengotakan janjinya untuk membentuk saiz Kabinet lebih kecil menerusi Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) juga akan mencadangkan agar gaji menteri dalam Kabinet akan dikurangkan susulan senario ekonomi semasa.

“Saiz Kabinet kecil dan saya minta supaya ahli  bersetuju dengan usul saya untuk kurangkan gaji mereka.

“Tapi ini dalam proses perbincangan dan persiapan,” katanya pada sidang media  di sini.

Mengenai pembentukan Kabinetnya, Anwar berkata, ia akan diselesaikan secepat mungkin dalam masa terdekat ini.

Beliau juga berjanji isu kos sara hidup, khususnya berkaitan harga barangan yang semakin menekan kehidupan rakyat Malaysia ketika ini akan menjadi keutamaan pentadbirannya.

Sebagai komitmen pantas, Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan pertemuan segera dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk membincangkan perkara berkenaan, selewat-lewatnya Isnin ini.

“Keutamaan saya sekarang ialah kos sara hidup walaupun ada yang positif, umpamanya kekuatan ringgit dan soal bursa saham yang lebih positif sekali gus menunjukkan keyakinan terhadap pentadbiran sekarang.

“Namun, saya masih berasa keutamaan harus diberikan terhadap kos sara hidup dan harga barangan yang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast