Mohd Fadzli Sapie

JOHOR BAHRU – Kira- kira 100 bas yang dianggarkan membawa 4,000 penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dari seluruh daerah di Johor berlepas ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada jam 8 pagi tadi untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia, malam ini.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT, Mohd Fadzli Sapie berkata, penyokong tidak sabar untuk menyaksikan pertembungan antara skuad Harimau Selatan dengan Selangor FC.

Beliau berkata, kelab itu menyediakan 15 bas bagi membawa penyokong dari Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, di sini yang berlepas, 8 pagi tadi.

“Di Stadium Larkin (Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos) sahaja kita menyediakan 9 bas dengan 360 penyokong di tambah dengan gabungan kelab lain dan juga Boys of Straits.

“Begitu juga penyokong di dearah lain macam di Batu Pahat saya anggarkan lebih kurang 100 bas dari Johor ke Stadium Nasional Bukit Jalil pagi ini,” katanya kepada pemberita di pekarangan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, di sini, hari ini.

Sementara itu, rata-rata penyokong tegar JDT yakin trofi Piala Malaysia akan dibawa pulang ke Johor malam ini.

Kamariah A. Kadir, 47, berkata, dia meramalkan skuad bimbingan Hector Bidoglio mampu menang sekurang-kurangnya 2-1.

“Kita mengharapkan kemenangan JDT malam ini, cuma perkara paling penting adalah kami harapkan tiada provokasi kerana kita mahukan semangat kesukanan yang sihat,” katanya yang tiba seawal pukul 6.30 pagi.

Kamariah A. Kadir

Awang Lazaman, 69 berkata, beliau yang menjadi penyokong tegar JDT sejak zaman bujang berharap kemenangan akan berpihak kepada pasukan itu bersandarkan kepada rekod Harimau Selatan.

Awang Lazaman

“Kali terakhir bertemu Selangor pada 1991, jadi sudah tentu kita mengharapkan pasukan kita menang saya yakin kita tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana rekod,” ujarnya.

Izad Shah Omar, 45 menjangkakan pasukan kesayangannya itu mampu meraih kemenangan 3-1 pada perlawanan malam ini.

”Saya memang yakin kita (JDT) mesti akan menang punya malam ini.

”Cuma kali ini lagi mudah kita dah tahu kalau menang cuti. Jadi kita (keluarga) boleh rancang perjalanan dan tak perlu bergegas pulang.

”Saya memang bangga jadi rakyat Johor kerana pasukan JDT memang semua tahu kehebatan,” katanya.

Selangor FC merupakan pemegang rekod juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali manakala JDT yang berusia lapan tahun bergelar juara pada 2017 dan 2019.

Pada tahun lalu, JDT dikecewakan 0-2 apabila tewas di tangan Kuala Lumpur City FC pada perlawanan akhir.

Kali terakhir skuad The Red Giants mara ke peringkat akhir Piala Malaysia ialah pada 2016 apabila tewas bertemu Kedah.-MalaysiaGazette