Wajah-wajah ceria graduan Universiti INCEIF pada majlis konvokesyen pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Konvokesyen ke-13 INCEIF University yang berlangsung pagi ini menyaksikan seramai 99 graduan daripada 28 negara termasuk Afghanistan, Japan Kazakhstan, Kenya, Hungary, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Berada di lima tangga teratas adalah graduan dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, Somalia dan Nigeria, sekali gus menambah jumlah alumni global INCEIF ke 2320 setakat 26 November 2022.

Tahun ini, majlis graduasi INCEIF University bertambah unik kerana ia memperlihatkan graduan dari program terbaharu yang diperkenalkan oleh INCEIF pada tahun 2020 tatkala dunia dilanda pandemik, iaitu Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA).

Direka untuk para professional yang telahpun bekerja yang ingin mengembangkan lagi karier mereka di dalam bidang kewangan Islam, program MBA tersebut terbahagi kepada pelbagai cabang pengetahuan industri yang komprehensif termasuk analisis data, kelestarian dan inovasi, perancangan strategik dan kelestarian di dalam pengurusan dan pelaburan.

Selain itu, majlis graduasi ini juga adalah konvokesyen kali pertama bagi Canselor INCEIF University, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang juga merupakan Gabenor Bank Negara Malaysia; dan Pro Chancellor Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar,
seorang cendekiawan Syariah, yang baru sahaja dilantik.

Daripada 99 graduan yang menerima ijazah daripada Canselor INCEIF, 11 menerima anugerah Doktor Falsafah (PhD) di dalam bidang Kewangan Islam; 54 -Sarjana Praktis Kewangan Islam; 22 – MSc di dalam Kewangan Islam; 4 – Sijil Profesional Kewangan Islam Berkanun; 6 penerima Sarjana Eksekutif Kewangan Islam dan 2 penerima Sarjana Pengurusan Perniagaan.

Menyertai mereka adalah 58 penerima Sijil Profesional Kewangan Islam.

Kemajmukan graduan INCEIF mengabsahkan peranan universiti ini dalam memupuk bakat bertaraf dunia di dalam industri kewangan Islam dan mengetengahkan lagi peranan Malaysia sebagai pusat pendidikan dan kajian bertaraf global di dalam bidang ini.

Tan Sri Azman Mokhtar, yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah INCEIF, dan Professor Datuk Dr. Mohd Azmi Omar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF turut hadir di majlis tersebut.

Di dalam ucapannya, Dr. Mohd Azmi Omar mengucapkan tahniah kepada graduan tahun 2022 Beliau memuji kesungguhan para graduan yang telah berjaya melalui proses pembelajaran dalam keadaan yang amat mencabar tatkala dunia masih dibelenggu
pandemik.

”INCEIF amat berbangga dengan kesabaran, komitmen, daya ketahanan serta kesungguhan para graduan untuk
meneruskan pengajian, namun anda semua berjaya menempuhinya,” katanya. – MalaysiaGazette