Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Twitter, Zulfadzli@BumiLangit yang ditahan kerana memuat naik video berunsur hasutan perkauman di laman Twitter miliknya kelmarin hari ini dibebaskan dengan jaminan polis.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek lelaki berusia 39 tahun itu dibebaskan selepas tempoh tahanan reman ke atasnya tamat.

“Suspek pemilik akaun Twitter bernama Zulfadli itu telah selesai dirakam keterangan sepanjang tempoh reman oleh polis dan hari ini telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Polis melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) akan merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara sebaik siasatan selesai dan kertas siasatan kes berkenaan dilengkapkan kelak.

“Kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara sepertimana diperuntukkan dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Noorsiah menerusi satu kenyataan media mengesahkan lelaki yang memiliki akaun twitter dengan nama Bumi Langit itu telah diberkas polis pada Khamis lalu.

Suspek direman di mahkamah di Kuala Lumpur selama tiga hingga hari ini untuk membantu siasatan.

Ujar beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana penggunaan tidak wajar perkhidmatan dan rangkaian perkhidmatan. – MalaysiaGazette