Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor percaya negeri itu tidak akan dipinggirkan oleh kerajaan Persekutuan walaupun Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang di peringkat Pusat.

Menurut beliau, landskap politik semasa, sistem demokrasi dan konsep federalisme yang diamalkan di negara ini ‘tidak mengizinkan’ kerajaan Persekutuan meminggirkan kerajaan negeri.

“Saya rasa dalam sistem federalisme, semua negeri ada hak yang sama, persekutuan dan negeri akan terus menjalinkan kerjasama di bawah sistem itu, saya rasa tidak ada masalah apa, sikit pun tidak ada masalah.

“Saya rasa dunia politik, demokrasi sekarang ini sudah tidak mengizinkan perkara seperti itu (kerajaan Persekutuan meminggirkan kerajaan negeri), kalau gagah pi dok buat juga, cari nahas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai harapan Kedah terhadap kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.

Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan mahu menjadi pembangkang berwibawa di Parlimen.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai, Muhammad Sanusi berkata, walaupun Perdana Menteri telah dilantik, pilihan raya itu dilihat masih penting dalam menentukan sokongan pengundi dan pihaknya yakin PN akan beroleh kemenangan mudah di situ.

Terdahulu, Muhammad Sanusi melancarkan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik serta Sambutan 100 Tahun Penubuhan Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma di sini. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast