SEBERANG PERAI – Walaupun dalam keadaan uzur namun nama Kepala Batas masih dalam ingatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Perkara itu dikongsikan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam Facebooknya hari ini sempena ulang tahun kelahiran Pak Lah yang ke-83.
Berdasarkan hantaran itu, Reezal Merican berkata, senyuman terpancar di raut wajah Pak Lah apabila beliau menyebut nama Kepala Batas dan ia secara tak langsung menunjukkan tokoh negara itu sentiasa ingat serta sayang dengan kawasan tersebut.
“Hari ini merupakan hari yang amat istimewa, tarikh ulang tahun kelahiran seorang tokoh, personaliti dan negarawan yang cukup saya muliakan iaitu ayahanda Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri ke-5.
“Walaupun dalam keuzuran, jika disebut sahaja Kepala Batas, jelas terpancar senyuman di raut wajahnya. Ayahanda Pak Lah sentiasa ingat dan sayang Kepala Batas.
“Saya berasa cukup kerdil apabila mengingatkan betapa besarnya khidmat dan pengorbanan yang dicurahkan olehnya kepada negara khusus sekali khidmat untuk warga Kepala Batas,” tulisnya di Facebook.
Menurut Reezal Merican, perjuangannya untuk Kepala Batas tidak akan terhenti walau dalam apa jua keadaan.
“Ayahanda Pak Lah sentiasa menjadi pembakar semangat dan saya janji akan meneruskan perjuangan legasi beliau.
“Semoga Allah limpahkan rahmat, kesejahteraan dan kesihatan yang baik buat Ayahanda Pak Lah serta Tun Jeanne,” katanya. – MalaysiaGazette