KUANTAN – Pakatan Harapan (PH) Pahang mengumumkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri.

Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu mengambil kira jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi kedua-dua parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

“Jumlah kerusi DUN secara keseluruhan yang dimenangi oleh BN (16 kerusi) dan PH (8 kerusi) yang telah melebihi majoriti mudah,“katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berharap Kerajaan Negeri Pahang yang baharu pasca PRU15 dapat dibentuk demi menjamin pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar untuk kepentingan rakyat

Buat julung-julung kali dalam sejarah, Pahang masih belum berjaya menamakan pemerintah kerajaan negeri selepas tujuh hari pasca PRU15 apabila tiada satu pun parti bertanding menang dengan majoriti mudah.

Keputusan PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menang 17 kerusi, BN memperoleh 16 kerusi dan lapan kerusi diperoleh PH.

Beberapa siri rundingan di antara BN dengan PN dan BN bersama PH dilapor masih belum mencapai kata sepakat, menjadikan Pahang dalam keadaan ‘tergantung’.

Ketika ini, tempoh berkempen bagi pemilihan di DUN Tioman masih berjalan sehingga 7 Disember ini ekoran kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61 pada jam 3.30 pagi pada hari mengundi PRU15 lalu.- MalaysiaGazette