Piala Malaysia: Utamakan keselamatan penonton
KEMUNCAK kehangatan sukan bola sepak negara akan berlangsung malam ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Peminat bola sepak negara akan menyaksikan pertembungan dua pasukan terbaik dalam saingan sukan bola sepak negara. Perlawanan akhir ini akan menyaksikan dua pasukan gergasi bola sepak negara iaitu di antara JDT dan Selangor FC bagi menjuarai Piala Malaysia edisi tahun 2022.
Perlawanan akhir ini turut dibayangi oleh kehangatan Piala Dunia 2022 yang sedang berlangsung di Qatar. Walaupun dalam kemeriahan Piala Dunia 2022 ini didapati jualan tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir ini adalah sangat memberangsangkan. Penyokong tegar kedua-dua pasukan dijangkakan akan mulai membanjiri Stadium
Nasional Bukit Jalil bermula petang ini. Sudah pasti, aksi malam ini tidak akan meriah tanpa sokongan padu daripada penyokong setia pasukan masing-masing.
Jelas, kemeriahan dan suasana gempita dalam stadium tidak akan wujud tanpa kehadiran mereka. Namun, kemeriahan dan kehangatan perlawanan akhir ini perlu diselia dan dipantau dengan penuh cermat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Beberapa tahun kebelakangan ini kita telah menyaksikan kejadian-kejadian yang telah mengakibatkan kecederaan penonton, kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa semasa perlawanan bola sepak di dalam fasiliti stadium.
Antara faktor-faktor penyumbang adalah disebabkan oleh masalah kesihatan penonton dan rusuhan penonton akibat tidak berpuas hati dengan keputusan di dalam padang. Tindakan yang agresif dan diluar kawalan ini sering menyaksikan penyokong membaling botol ke dalam padang, membakar roket dan mercun di dalam fasiliti stadium.
Jelas, kejadian-kejadian seperti ini juga sering berlaku di dalam perlawanan bola sepak yang melibatkan pasukan kuat dan memiliki penyokong yang ramai.
Justeru, pihak-pihak yang berkepentingan perlu duduk berbincang dan berkongsi idea dalam merangka langkah pencegahan yang proaktif bagi memastikan keselamatan penonton dan fasiliti stadium terpelihara dengan baik. Antara perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian yang serius adalah seperti berikut:
1. Memperketatkan tahap kawalan keselamatan di pintu-pintu masuk utama bagi mengekang kemasukan bahan-bahan terlarang seperti mercun ke dalam fasiliti stadium.
2. Menyediakan pelan pengosongan bangunan (building evacuation plan) fasiliti stadium dengan jelas sebagai persediaan semasa kecemasan berlaku.
3. Menempatkan pasukan perubatan khusus untuk penonton dan tidak terhad hanya kepada pemain di dalam padang sahaja.
4. Penguatkuasaan dan pemantauan tindak-tanduk penonton sepanjang perlawanan bagi membendung keganasan bola sepak.
5. Meningkatkan penglibatan agensi keselamatan luar seperti FRU, RELA, pasukan perubatan dan lain-lain.
6. Meningkatkan kesedaran tentang aspek keselamatan di dalam fasiliti stadium dalam kalangan penonton dengan memberi maklumat lengkap laluan kecemasan dan tempat berkumpul semasa kecemasan.
Kesimpulanya, keselamatan penonton di dalam fasiliti stadium sepanjang perlawanan bola sepak memerlukan perhatian yang serius dari semua pihak. Adalah diharapkan kehangatan perlawanan akhir pada malam ini tidak dicemari dengan insiden-insiden yang boleh mendatangkan kecederaan dan kehilangan nyawa.
Semoga peminat bola sepak negara dapat menikmati perlawanan yang berkualiti dan semangat kesukanan yang tinggi. Jagalah akhlak dan keselamatan anda semasa berada di dalam fasiliti stadium. Selamat berjuang kepada JDT dan Selangor FC!
Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Peraka