MADINAH – Sukarelawan Bulan Sabit Arab Saudi yang beroperasi di Masjid Nabawi mengalami pengalaman berbeza apabila seorang wanita melahirkan anak selepas beliau mengalami kesakitan untuk bersalin di pekarangan masjid tersebut, Khamis lalu.
Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Bulan Sabit Arab Saudi (SRCA) cawangan Madinah, Dr. Ahmed Ali Al-Zahrani berkata, pasukan sukarelawan yang bertugas dengan pusat ambulan di masjid tersebut membantu wanita itu melahirkan seorang bayi, lapor Saudi Gazette.
Katanya, apabila pasukan itu tiba di lokasi, mereka mendapati wanita tersebut berada dalam keadaan kritikal dan hampir bersalin.
Wanita tersebut mengalami kontraksi, yang menunjukkan dia hampir bersalin yang mana air ketuban pecah dan kepala bayi tersebut mula keluar, kata pasukan SRCA.
Berikutan itu, pasukan tersebut mula membantu wanita berkenaan bersalin.
Seorang pengamal perubatan turut hadir di lokasi untuk membantu.
Selepas bayi dilahirkan, ibu dan bayi itu dipindahkan ke Pusat Kesihatan Bab Jibril untuk pemeriksaan, kara Dr Al-Zahrani sambil menambah kes tersebut memerlukan penjagaan kesihatan yang intensif. – Agensi