Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Anggota Kabinet yang bakal dilantik dalam pentadbiran Perdana Menteri ke-10 bukan untuk menyediakan ganjaran kepada ‘tuan politik’.

Perkara itu ditegaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan sokongan terhadap beliau oleh pemimpin-pemimpin politik seharusnya bersandarkan polisi yang ingin dibawanya.

Anwar sekali lagi menegaskan, jumlah anggota Kabinet yang akan dilantik adalah kecil.

“Dan isu lain sudah tentu ialah keputusan saya untuk mengurangkan saiz Kabinet. Kerana saya tidak mahu meneruskan cara boros melantik menteri sebagai ganjaran. Jadi anda mempunyai 70 menteri ditambah dengan utusan khas dan penasihat.

“Sudah tentu kita boleh pertimbangkan satu atau dua itu sangat perlu. Itu tidak sepatutnya dilihat sebagai tuan politik yang memberi ganjaran bukan kerana mereka menyokong saya.

“Saya mahu mereka menyokong saya berdasarkan dasar saya dan komitmen saya terhadap tadbir urus yang baik. Komitmen saya terhadap anti rasuah dan untuk memulihkan ekonomi. Ia sebenarnya itu,” kata Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengarusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus antara yang hadir.

Turut terlibat pegawai-pegawai daripada Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Sementara itu Anwar akan mengumumkan anggota Kabinet dalam tempoh terdekat.

“Sudah tentu ia mengambil masa. Saya perlu berbincang rakan-rakan gabungan dan tiga parti utama PH.

“Dengan GPS, saya lakukan perjumpaan dengan Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam, bercakap dan berbincang wakil BN melalui jawatankuasa yang ditubuhkan.

“Petang ini, saya jumpa Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor di sini kemudian berbincang dengan Warisan,” kata Anwar.

Presiden PKR itu mahu melihat negara berfungsi dan adalahkan penting untuk beliau menubuhkan ‘pasukan’ untuk membolehkan mereka mula bekerja. – MalaysiaGazette