PELABUHAN KLANG – Seorang lelaki berusia 50-an mati lemas selepas dilihat memasuki sebatang sungai berhampiran pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran Jaya hari ini.
Difahamkan dalam kejadian jam 10.34 pagi tadi, orang ramai melihat mangsa terkapai-kapai dan meminta pertolongan selepas menuruni sungai hingga hilang daripada pandangan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Penolong Kanan Penguasa Bomba II, Razif Mohamad Haris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pukul 10.34 pagi dan tiba di lokasi kejadian 13 minit kemudian.
Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Bomba Bantuan dari BBP Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota kami menyusuri sungai tersebut serta menghubungi unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Pelabuhan Klang.
“Anggota PPDA melakukan selaman di dasar sungai dan berjaya menemui mangsa dan membawa mangsa ke atas darat.
“Kami terus menghubungi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pengesahan kematian. Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi berakhir pada pukul 1.42 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, pihak polis juga tidak menjumpai sebarang identiti pada mayat mangsa. – MalaysiaGazette