Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Aminuddin Hashim bercakap kepada media selepas Majlis Penutupan Program Pertandingan Malaysia Techlympics Peringkat Akhir Kebangsaan di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Malaysia Techlympics berjaya menarik pendaftaran seramai 1.03 juta rakyat Malaysia berusia antara tujuh hingga 30 tahun, sekaligus, melepasi sasaran asal satu juta pendaftaran.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Aminuddin Hassim berkata, laman sesawang Malaysia Techlympics juga telah dilayari sebanyak 200,000 pengunjung dengan jejak jangkauan digital lebih 31 juta antara Mac hingga Oktober.

Menurut beliau, jumlah itu amat memberangsangkan dan ia menunjukkan minat tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia untuk meneroka bidang berkaitan Sains Teknologi dan Inovasi (STI).

“Bertemakan ‘Berhubung, Bersaing, Berjaya’, Malaysia Techlympics adalah sebuah program flagship MOSTI yang berasaskan STI terbesar di Malaysia. Ia bertujuan merancakkan aktiviti STI negara melalui experiential learning untuk melengkapkan pembelajaran STI.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha MOSTI untuk memastikan lebih ramai golongan pelajar dan belia menjadikan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan STI sebagai pilihan kerjaya masa hadapan, seterusnya mengaplikasi pengetahuan mereka dalam kehidupan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Malaysia Techlympics di Axiata, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Sekitar Program Pertandingan Malaysia Techlympics Peringkat Akhir Kebangsaan di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2022.

Aminuddin berkata, penyertaan dalam Malaysia Techlympics secara berkumpulan dan setiap pertandingan yang disusun berdasarkan ‘Penyelesaian Masalah’ di mana para peserta akan menjana idea inovasi berdasarkan tema yang telah ditetapkan.

Pelbagai aktiviti pembelajaran tidak formal juga telah diatur sepanjang program seperti bengkel, webinar, permainan, makmal pembuatan, pertandingan, kuiz dan pameran, katanya.

Tambah beliau, MOSTI melalui Institut Penyelidikan Teknologi & Inovasi (MRANTI) turut memberikan kursus Latihan Tenaga Pengajar kepada lebih 5,800 guru dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran para guru dalam bidang STI.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan tersebut Aminuddin berkata, tidak banyak program STI yang ditawarkan oleh mana-mana pihak menjadi faktor utama program anjuran MOSTI itu mendapat penyertaan luar biasa.

Katanya, sebagai peneraju STI telah datang satu idea untuk MOSTI menganjurkan program seperti itu sekaligus menarik minat golongan belia mendekatkan diri dengan STI.

“Jadi, saya menjangkakan ramai yang hendak melihat apa itu STI, apakah program-program yang dilaksanakan dan apakah dasar-dasar yang sedia ada.

“Dengan adanya program ini, dengan adanya platform yang disediakan oleh Techlympics ini saya menjangka, 1.03 juta penyertaaan itu adalah kerana mereka hendak cuba menyelesaikan masalah yan ada. Jadi, mereka cuba lihat ruang-ruang dan peluang-peluang yang disediakan oleh Techlympics inilah,” ujarnya. – MalaysiaGazette