Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Baru empat hari Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, pertubuhan Dong Zhong sudah tunjuk belang.

Mereka menuntut pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama atau Unified Examination Certificate (UEC) dan peruntukan kekal bagi aliran berkenaan.

Walaupun yang dibentuk ketika ini adalah Kerajaan Perpaduan tidak bermakna kerajaan perlu tunduk dan sewenangnya memberi autonomi mengiktiraf UEC dari China dan Taiwan yang aspek piawaian, silibus dan bahasanya jelas tidak selari dengan status quo sistem pendidikan di Malaysia.

Justeru, Wira Putra menggesa Menteri Pendidikan yang bakal dilantik nanti tidak memberi keutamaan kepada tuntutan itu dan meneruskan dasar kementerian sedia ada.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menegaskan, menteri tersebut perlu menyerapkan semua sekolah jenis kebangsaan yang diletakkan di bawah sistem pendidikan kebangsaan untuk dijadikan sekolah perpaduan atau satu aliran.

“Perpaduan yang cuba diperkenalkan sepatutnya bukan semata-mata di peringkat Parlimen, ia patut diterjemah kepada semua peringkat bagi menjamin keharmonian dan ianya bermula dari bangku sekolah.

“Perpaduan dan kesatuan yang dipupuk dari sekolah satu aliran mampu memberi impak positif dalam membentuk generasi yang sayangkan tanah air serta saling hormat menghormati sesama etnik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dong Zong menggesa kerajaan baharu mengiktiraf sijil UEC Sekolah Menengah Cina bebas dan menginstitusikan peruntukan Sekolah Menengah Cina secepat mungkin.

Menurut laporan Sin Chew Daily, mesyuarat bersama Persatuan Pengarah Sekolah Cina di Malaysia (Dong Zong) kali ke-93 sebulat suara meluluskan dan menerima 11 cadangan, termasuk menggesa Anwar mengiktiraf sijil UEC dan menginstitusikan peruntukan Sekolah Menengah Cina Persendirian secepat mungkin.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Pengerusi Dong Zong, Chen Taijin. Seramai 25 wakil yang menyertai mesyuarat itu melibatkan 12 persatuan Dong Zong iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang, Terengganu, Sarawak dan Sabah.

Menurut Nasrul Ali Hasan, jika ia bukan lagi ditakrif atau diletakkan di bawah sistem pendidikan kebangsaan iaitu dikategorikan sebagai pendidikan swasta, pengiktirafan dan sebarang dana kerajaan tidak wajar diberikan kepada sekolah vernakular itu.

Jelas beliau, pemerkasaan Sijil Pelajaran Malaysia di bawah Dasar Pendidikan Kebangsaan yang perlu diutamakan dan tolak pengiktirafan Sijil UEC yang akan merenggangkan semangat perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. adakan perundingan tiga badan terlibat . wira putra . dong zong dan kerajaan untok cari jalan penyelesaian .

  2. sekolah kebangsaan sepatutnya sudah bersedia untuk mengajar bahasa tamil dan bahasa cina, sebagaimana sekolah kebangsaan yang mengajar arab. sedihnya apabila sekolah aliran tidak cukup pelajar, kasihan melihat anak tidak dapat bermain dan berkawan. Hang Tuah mengusai banyak bahasa, sebab itu dia termasyhur di seluruh dunia.

Comments are closed.