Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Barisan Kabinet akan dilantik secepat mungkin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun sebelum itu beliau terlebih dahulu perlu mengambil kira pandangan semua parti yang mengambil bahagian bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk.

Lagi pun, menurutnya, keanggotaan Kabinet kerajaan kali ini akan diperkecilkan.

“Sesegera mungkin (tubuh barisan Kabinet) sebab sepertimana saya sebut, tidak seperti biasa, Kerajaan Perpaduan ini melibatkan banyak parti.

“Jadi, saya sebelum membuat keputusan, saya mesti dengar semua pandangan dan kemudian masalahnya kerana Kabinet ditubuh nanti perlu diperkecilkan,” katanya.

Beliau selaku Pengerusi PH sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat PH di ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Mesyuarat PH yang sama turut membincangkan mengenai penubuhan barisan Kabinet baharu untuk perjalanan kerajaan baharu.

“Kami juga membincangkan cadangan mengenai penubuhan Kabinet untuk diambil pertimbangan sewajarnya dan proses penubuhan Kabinet semua boleh bagi pandangan tetapi mereka serahkan kepada saya untuk membuat keputusan mengenai line up Kabinet.

“Kalau dulu dia masuk sahaja 50 wakil, 60 wakil, 70 wakil, tak cukup lagi duta khas….tak cukup lagi penasihat khas,(dalam Kabinet) tapi saya tak sanggup buat begitu,” jelasnya lagi.

Anwar berkata, dalam mesyuarat itu juga pelbagai perkara dibincangkan dan antaranya perjalanan kerajaan baharu di bawah kepimpinannya.

Tambah beliau, agenda hari ini melibatkan mesyuarat biasa PH dan antara perkara dibincangkan adalah sokongan dalam langkah-langkah untuk menangani kos sara hidup yang diberi keutamaan olehnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun juga berkongsi mengenai lawatan khas Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanah Bolkiah ke Malaysia pagi tadi atas semangat persahabatan baginda dengannya.

Presiden PKR itu juga menyatakan rasa terharu dengan kesanggupan baginda mencemar duli dan ia memberi kesan mendalam kepada dirinya.

“Sangat mengesan kepada saya baginda datang dengan semangat persahabatan dan memberikan sokongan kepada pemilihan PM baharu hanya untuk itu..dia datang terus bawa saya ke Seri Perdana untuk makan tengahari dan terus balik (Brunei).

“Saya sangat terharu dengan semangat persahabatan ditunjukkan luar biasa oleh Sultan Brunei,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast