Sebanyak dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Felda Tersang dan Kampung Tersang dalam Mukim Batu Talam dekat sini yang menempatkan 60 mangsa banjir petang semalam.

RAUB – Sebanyak dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Felda Tersang dan Kampung Tersang dalam Mukim Batu Talam dekat sini yang menempatkan 60 mangsa banjir petang semalam.

PPS Dewan Felda Tersang Satu dibuka pada pukul 7.00 malam menempatkan seramai 46 orang daripada 10 keluarga termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU).

Manakala PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Tersang pula dibuka pukul 12.45 pagi tadi menempatkan seramai 14 orang mangsa daripada tiga keluarga termasuk seorang bayi dan OKU.

Pegawai APM Raub, Kapt (PA) Samasuddin Kambade melaporkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pukul 7.08 malam dan dimaklumkan sebanyak 13 buah rumah terlibat.

“Pihak APM Raub bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan lanjut dan mengambil maklumat mangsa dan membuat kerja-kerja menyelamat.

“Pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung turut terlibat dalam operasi, pemantauan di Sungai Kenong diteruskan dan semua agensi dalam keadaan siap sedia,” katanya melalui kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette