SUBANG JAYA – Lima individu lelaki melalui detik mencemaskan apabila nyaris maut dalam satu kebakaran melibatkan dua buah kilang di Taman Perindustrian Puchong dekat sini awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Norazam Khamis berkata, kesemua mangsa bagaimanapun sempati menyelamatkan diri sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian.
Katanya, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan kecemasan orang awam sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang, Petaling Jaya, Serdang dan Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian itu, pemerhatian dan pemeriksaan anggota mendapati kebakaran melibatkan premis bangunan kilang perindustrian menempatkan sebuah pejabat, kilang memproses santan serta dua kilang elektronik.
“Kesemua mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berumur antara 20 hingga 30-an itu berada dalam salah sebuah kilang yang sedang terbakar semasa kejadian.
Kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan harta benda kilang sebanyak 70 peratus, kata Norazam.
“Kesemua mangsa terlibat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan anggaran kerugian melibatkan empat buah kilang tersebut juga sedang disiasat,” tegasnya. – MalaysiaGazette