Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D Angelus.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memastikan Menteri Kewangan yang baharu bukan seorang yang akan mengutamakan perniagaan besar semata-mata.

Individu terbabit perlu mempunyai kekuataan, keberanian dan kesungguhan untuk meningkatkan kesejateraan ekonomi rakyat, kata Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D Angelus.

Menurut beliau, menteri kewangan lalu hanya menumpukan usaha untuk mewujudkan sistem yang memberi manfaat kepada syarikat-syarikat besar.

“Ini telah dilakukan dengan mengorbankan kepentingan rakyat. Tanggapan yang ternyata salah ialah jika syarikat besar berjaya, semua rakyat Malaysia akan mendapat faedahnya.

“Kita telah melihat bagaimana bentuk teori ekonomi trickle-down ini telah terbukti salah.

“Realitinya ialah syarikat-syarikat kaya telah menjadi lebih besar dan lebih kaya dan kemudian menutup pintu di sekeliling mereka. Jurang antara yang kaya dan yang miskin semakin melebar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Callistus, menteri kewangan yang baharu perlu mengkaji segera jurang antara pekerja bergaji paling tinggi dan rendah dalam sebuah syarikat besar yang telah beroperasi sejak 10 hingga 30 tahun lalu.

Beliau yakin jurang itu telah berlipat ganda dan Kementerian Kewangan, katanya, harus mendedahkan penemuan-penemuan berkaitan kepada umum.

“Menteri-menteri Kewangan yang berbeza selama ini telah memainkan agenda neoliberal dalam satu bentuk atau yang lain dan ia menjadi lebih buruk dari semasa ke semasa.

“Mereka telah menjadi boneka perniagaan besar. Peranan Menteri Kewangan sepatutnya memastikan platform ekonomi diwujudkan di negara ini supaya semua orang dapat berkembang maju. Umumnya, keutamaan haruslah rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Callistus memuji Anwar kerana selepas pelantikannya, Perdana Menteri ke-10 itu bersungguh menangani peningkatan kos sara hidup.

Peningkatan tersebut telah memberi impak terbesar ke atas golongan miskin khususnya kumpulan B40 dan M40.

Orang kaya, menurut beliau, telah mendapat manfaat daripada ‘huru-hara’ dan krisis ekonomi seperti yang telah dibuktikan sebelum ini. – MalaysiaGazette