Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang ke-15 di Istana Sultan Abu Bakar di Pekan hari ini.

PEKAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang ke-15 di Istana Sultan Abu Bakar di sini hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah pada Majlis Istiadat  Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Istana Abu Bakar.

Wan Rosdy menjadi Menteri Besar Pahang sejak 15 Mei 2018 dilantik sekali lagi selepas mendapat perkenan Tengku Hassanal berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dalam Bahagian II, Perkara 3.(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Anak kelahiran Pahang ini telah menjadi ADUN Jelai buat penggal kelima setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) lalu.

Pada PRU15, Wan Rosdy menang 10,092 dengan majoriti 6,983 undi dalam saingan tiga penjuru.

Pelantikan Wan Rosdy hari ini menamatkan spekulasi pembentukan Kerajaan Negeri Pahang selepas tergantung selepas keputusan PRU15 lalu.

Ini berikutan tiada parti menang majoriti bagi pembentukan kerajaan di mana Barisan Nasional menang 16 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 17 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) lapan kerusi.

Manakala PRU15 bagi DUN Tioman akan berlangsung 7 Disember dan undi awal pula 3 Disember ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Wan Rosdy angkat sumpah MB Pahang esok