SEREMBAN – Belanjawan 2023 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun disifatkan menyeluruh dan mampu menjamin kelangsungan hidup rakyat meskipun terdapat defisit sebanyak RM100 juta, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah Anthony Loke.
Beliau berkata ini kerana pelbagai indikator menunjukkan peningkatan yang baik termasuk dari segi kutipan hasil rizab Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM748.27 juta setakat 15 Nov lepas selain pelaburan serta penambahan pegangan saham badan berkanun negeri.
“Walaupun kita membentangkan belanjawan defisit tetapi ia boleh ditampung kerajaan negeri melalui lebihan atau rizab Kumpulan Wang Disatukan tanpa menimbulkan bebanan kepada kewangan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri juga perlu membentangkan belanjawan defisit kerana sejak berlakunya penularan COVID-19 dua ke tiga tahun lepas, negeri perlu berbelanja lebih banyak bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang terkesan dapat dijaga,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban itu berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 pada Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima DUN ke-14 di sini.
Kerajaan Negeri Sembilan pada Jumaat lepas membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan “Melunas Janji dan Menggalas Harapan” berjumlah RM550 juta dengan anggaran hasil RM450 juta dan belanjawan pembangunan bernilai RM130 juta manakala belanjawan defisit sebanyak RM100 juta.
Dalam pada itu, Loke berkata belanjawan dengan fokus utama menjamin bekalan makanan itu perlu dilaksanakan segera dan setiap peruntukan betul-betul disalurkan kepada rakyat selain mengkaji mekanisme semua inisiatif terbabit sama ada ia berkesan atau sebaliknya.
“Saya lihat ada inisiatif dan bidang tumpuan adalah kesinambungan yang diketengahkan empat tahun lepas. Sudah tentu cabaran akan datang adalah memastikan kadar inflasi menurun sekali gus menurunkan kos sara hidup rakyat yang turut diberi tumpuan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Menerusi belanjawan itu, sebanyak 64 inisiatif merangkumi 22 inisiatif baharu dan 42 inisiatif sedia ada dengan peruntukan berjumlah RM107 juta termasuk jaminan bekalan makanan iaitu RM9.05 juta dan ekonomi rakyat sebanyak RM15.7 juta.
Sementara itu, Datuk Seri Awaludin Said (BN-Kota) berharap kerajaan negeri perlu menekankan kebajikan rakyat di negeri ini terutamanya mereka yang masih terkesan dengan COVID-19.
Beliau berkata terdapat rakyat di negeri ini yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik COVID-19 dua tahun lalu masih bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi dan memerlukan sokongan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
“Kerajaan negeri perlu memberi perhatian kepada golongan terkesan ini dengan menyalurkan bantuan bagi tempoh dua tahun ini supaya rakyat dapat berdiri sendiri menyara keluarga,” katanya.
Saiful Yazan Sulaiman (BN-Johol) pula berkata sebarang pembangunan yang dilaksanakan kerajaan melalui belanjawan itu perlu diterima secara langsung oleh rakyat dan tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja.
“Ia memang sesuatu yang dinantikan oleh rakyat..lebih-lebih lagi masyarakat nak bangkit daripada suasana pandemik sekali gus membina kehidupan baharu terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar, jadi perancangan pembangunan ini mesti beri kesan kepada rakyat,” katanya.
Persidangan DUN bersambung esok.- BERNAMA