anggota bomba memberi rawatan kepada wanita warga emas yang melecur tangan dalam kebakaran rumahnya di taman Sunway Batu caves awal pagi tadi. Gambar Ihsan Bomba Selangor

GOMBAK – Seorang wanita warga emas bersama anak perempuannya melalui detik cemas selepas rumah teres yang didiaminya di Taman Sunway, Batu Caves di sini terbakar.

Namun, kedua-dua mangsa berjaya lari keluar menyelamatkan diri dengan kecederaan ringan dan melecur.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kebakaran itu pada jam 8.58 pagi tadi.

Katanya, bertindak atas panggilan kebakaran itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang telah bergegas dengan satu jentera bomba ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi pada jam 9.08 pagi.

“Pemerhatian anggota kami di lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik di rumah teres dua tingkat, mengalami kebakaran sebanyak 20 peratus,” katanya dalam kenyataan pada tengahari tadi.

Ujarnya, kedua-dua mangsa dikenalpasti sebagai ibu, 61 dan anak perempuan yang tinggal di rumah itu.

“Wanita warga emas itu melecur manakala seorang lagi perempuan cedera ringan,” ujarnya.

Punca kejadian serta anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan bomba. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast