KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diseru supaya menguruskan kewangan secara dengan telus, bertanggungjawab dan beramanah.
Ini kerana, sudah menjadi kelaziman sering berlaku pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan tanpa mendapat teguran daripada mana-mana pihak, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Beliau berkata, pembaziran juga dapat dilihat secara jelas di dalam pelaporan yang disediakan oleh Jabatan Audit Negara setiap tahun.
“Kami berpandangan perbelanjaan kerajaan adalah dari wang awam dan sudah tentu akauntabiliti perlu ditekankan. Setiap sen wang awam harus dipertanggungjawabkan.
“Rakyat sangat mahu pimpinan kerajaan menunjukkan teladan. Ketika ada rakyat yang susah pemimpin negara tidak sepatutnya menunjukkan kemewahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, pentadbiran yang jelas sederhana dalam kehidupan peribadi pemimpin dan ketua-ketua pentadbiran secara berhemat dalam menggunakan wang awam akan dihargai rakyat.
Ujarnya, kenyataan Anwar yang mengarahkan tidak ada sebarang pembelian baru untuk pejabat Perdana Menteri serta memberi isyarat kepada semua agensi kerajaan untuk mengelak sebarang pembaziran sangat dialu-alukan.
Katanya, perkara yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri itu diyakini suatu berita yang penting dan mahu didengar oleh rakyat kerana sudah menjadi kelaziman pemimpin kerajaan sering membazir. – MalaysiaGazette