Graduan, Norramlee Mohamed Noor yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) bergambar bersama isterinya, Hasnah Ismail selepas berjaya menerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Fakulti Elektrikal Elektronik pada Majlis Konvokesyen Ke-46 UPM di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 29 NOVEMBER 2022.

SERDANG – Status sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak menghalang Dr. Norramlee Mohamed Noor menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik pada Majlis Konvokesyen Univeriti Putra Malaysia (UPM) ke-46 sidang 2 di sini hari ini.

Norramlee, 55, yang tidak boleh berjalan pada tahun 2015 sebelum ini terpaksa menangguh pengajiannya selama dua tahun.

“Semasa saya dalam perjalanan untuk melakukan projek PhD, kaki saya terasa sakit dan tidak boleh berjalan. Di situlah titik permulaan saya mengalami kelumpuhan tulang belakang dan tidak boleh bergerak.

“Saya berbincang dengan profesor dan beliau mencadangkan supaya saya tangguh pengajian untuk menjalani pembedahan pada tahun 2016 dan mengambil masa untuk pulih pada tahun 2017 sebelum meneruskan semula pengajian pada 2018,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, kelumpuhan yang dialami disebabkan waktu mudanya beliau berminat dengan sukan ekstrem sehingga tidak memikirkan kesan jangka panjang.

Tambah Norramlee, ketika diuji dengan kelumpuhan, beliau hampir berputus asa namun dorongan daripada isteri, keluarga serta pensyarah menguatkan semangatnya meneruskan pengajian.

Norramlee yang juga merupakan pensyarah UniKL Kedah merancang  untuk fokus pada kariernya  selepas ini dan mahu memberi inspirasi kepada anak muda supaya minat untuk belajar.

“Saya dalam keadaan macam ini boleh berjaya, jadi mereka pun boleh berjaya juga,” katanya. – MalaysiaGazette