Seorang pemandu lori hari ini direman empat hari bagi membantu siasatan kemalangan maut seorang kontraktor di Kilometer 179.3 Lebuh Raya PLUS arah selatan di sini pagi semalam.

JASIN – Seorang pemandu lori hari ini direman empat hari bagi membantu siasatan kemalangan maut seorang kontraktor di Kilometer 179.3 Lebuh Raya PLUS arah selatan di sini pagi semalam.

Perintah reman sehingga Jumaat ini terhadap lelaki berusia 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Tan Chai Wei di Mahkamah Jasin.

Ia bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan denda RM20,000.

Terdahulu suspek berpakaian lokap tiba di pekarangan mahkamah pukul 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi semalam, seorang kontraktor maut manakala anak bongsunya parah selepas dirempuh lori ketika sedang menukar tayar kereta di lorong kecemasan lebuh raya.

Mangsa Khaidzir Zainuddin, 59, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala anaknya Muhammad Ashraf, 22, patah tulang rusuk.

Ketika kejadian, dua beranak itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pengerang, Johor atas urusan kerja sebelum tayar kereta Mercedes dinaiki pancit.

Nahas berlaku ketika mereka sedang berkemas selepas selesai menukar tayar sebelum sebuah lori tunda yang berhenti di belakang kereta mereka dilanggar oleh sebuah lagi lori yang datang dari arah sama.

Rempuhan mengakibatkan lori tunda terbabit melanggar kedua-dua mangsa yang berada di but kereta menyebabkan mereka tercampak ke tepi lebuh raya. – MalaysiaGazette.