Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan teknikal pada jam 5.46 petang berikutan Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang atau Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) yang teraktif secara tiba-tiba disyaki disambar petir di Stesen LRT Kerinchi.

Menurut kenyataan Rapid Rail Sdn. Bhd., insiden itu menyebabkan tren dari kedua-dua arah tidak dapat melalui kawasan tersebut.

“Kakitangan teknikal sedang berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih dan akibat daripada gangguan tersebut, semua tren yang melalui kawasan tersebut terpaksa dipandu secara manual,” katanya.

Jelas kenyataan itu, insiden tersebut mengakibatkan berlaku kelewatan jadual perjalanan dan kesesakan di platform di beberapa stesen di Laluan Kelana Jaya.

Bagi langkah jangka pendek membantu penumpang yang terjejas, Rapid Rail berkata, pihaknya telah menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma bagi membawa penumpang dari Stesen LRT Bangsar ke Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen LRT KLCC ke Stesen LRT Pasar Seni.

“Kakitangan operasi dan Polis Bantuan telah ditempatkan di platform bagi mengendalikan orang ramai untuk memudahkan pergerakan mereka pulang ke destinasi masing-masing,” ujarnya.

Katanya, pengumuman menerusi laman media sosial Rapid KL, di stesen dan di dalam tren telah dilakukan untuk makluman pengguna. – MalaysiaGazette