KUALA LUMPUR – Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) menunjukkan purata skor 0.707, ataupun 70.7 peratus pada 2021 iaitu menurun 0.7 mata peratus berbanding 0.714 pada tahun 2020.
Manakala tiga negeri mencatat skor MGGI tertinggi iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 0.842, Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.762) dan Melaka (0.761).
Sebanyak tujuh negeri merekodkan skor di bawah paras kesaksamaan nasional iaitu Sabah (0.704), Kedah (0.703), Pahang (0.702), Perlis (0.699), Pulau Pinang (0.695), Perak (0.694) dan Negeri Sembilan (0.686).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan kepada skor MGGI 2021, Malaysia berada di kedudukan ke-80 daripada 146 negara di dunia.
Bagaimanapun, Malaysia masih di belakang New Zealand, Filipina, Australia dan Singapura.
Pada masa yang sama, dalam kalangan negara Asia Timur dan Pasifik, Malaysia berada di kedudukan kesembilan pada tahun 2021 yang mana negara ini mendahului Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Jepun.
Pencapaian wanita telah melebihi lelaki dalam sub-indeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.060 manakala sub-indeks kesihatan dan kehidupan mencatatkan skor 0.960, diikuti sub-indeks peluang dan penyertaan ekonomi (skor 0.709).
Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita masih rendah iaitu 55.5 peratus pada tahun 2021 jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Lao (74.8%) dan Cambodia (74.0%).
Penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 10.0 peratus (skor 0.100) yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan menteri dan Parlimen. – MalaysiaGazettte