Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang . Foto MUHD NA’IM, 19 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pas menggesa semua pihak menolak pihak-pihak yang bersekongkol dengan mereka yang memusuhi Islam.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tidak hanya itu malah semua perlu menjauhkan diri dengan pihak tersebut yang menjadikan mereka sebagai teman atau pihak yang berkongsi kuasa semata-mata demi pangkat dunia yang sementara.

“Tetaplah bersama Perikatan Nasional (PN) yang kekal bermaruah demi Malaysia yang lebih prihatin, bersih, dan stabil,” katanya yang dipetik menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Malam tadi, Abdul Hadi berkesempatan bersama calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor ldayu Hashim bersama kepimpinan kawasan dan seluruh hadirin bersempena bahang pilihan raya yang masih belum berakhir.

“Saya memetik peringatan ALLAH SWT daripada Surah al-Mumtahanah yang menyebut: ALLAH SWT mengizinkan kita untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi agama Islam, kerana berlaku adil merupakan suatu kewajipan.

“Akan tetapi, ALLAH SWT melarang kita daripada menjadikan mereka yang memerangi agama Islam sebagai wali (teman rapat), kerana perbuatan tersebut menjerumuskan kita dalam golongan yang zalim,” tulisnya.

Sebelum ini, pilihan raya bagi DUN Tioman ditangguhkan selepas kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada Sabtu lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi DUN Tioman, 24 November lalu manakala hari mengundi adalah pada 7 Disember depan sementara pengundian awal 3 Disember.

Calon-calon lain yang telah disahkan bertanding adalah Sulaiman Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan), Sulaiman Bakar (Bebas), Osman Bakar (Pejuang) dan Datuk Seri Mohd Johari (Barisan Nasional).

Pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 lalu, Barisan Nasional memperoleh 16 kerusi DUN Pahang, PN dengan 17 kerusi dan Pakatan Harapan memperoleh lapan kerusi. – MalaysiaGazette