Tian Chua. Foto MUHD NA’IM, 17 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak sewajarnya menolak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekiranya Barisan Nasional (BN) mahu mencalonkan Presiden UMNO itu sebagai anggota Kabinet.

Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, jika berlaku penolakan Ahmad Zahid, ia bertentangan dengan semangat kerjasama dan saling mempercayai kedua-dua parti tersebut.

Menurutnya, melalui kepimpinan Ahmad Zahid yang tegas telah terbukti berjaya  memecahkan kebuntuan pemimpin BN untuk memilih rakan pemerintah.

Tambahan, menurut Tian Chua, Ahmad Zahid telah memainkan peranan penting dalam menyatukan BN dan PH.

“Ahmad Zahid telah menunjukkan keupayaannya untuk menyatukan BN ke dalam pendirian bersatu untuk bekerjasama dengan PH.

“Tambahan pula, pengalaman Zahid dalam kerajaan adalah satu kelebihan dan beliau boleh melengkapkan menteri PH yang tidak berpengalaman.

“Beliau juga boleh menjadi pengantara antara PH dan perkhidmatan awam dan segmen konservatif kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada sebuah portal hari ini.

Menurut Tian Chua, Ahmad Zahid boleh memainkan peranan penting dalam menstabilkan kerajaan gabungan baharu.

Ahmad Zahid juga berguna dalam menghubungkan parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan termasuk merapatkan  Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan sebagainya.

Bagaimanapun, Tian Chua merasakan akan ada pihak yang akan menjadikan kes rasuah untuk menentang pelantikan Ahmad Zahid sebagai anggota Kabinet.

Kumpulan itu akan mendakwa dengan memasukkan Ahmad Zahid dalam Kabinet, ia akan menjejaskan usaha anti rasuah kerajaan baharu.

Bagaimanapun penolakan itu boleh diredakan dengan beberapa hujah.

“Pertama, tiada kekebalan daripada pendakwaan bagi mana-mana anggota Kabinet. Prosiding perbicaraan harus diteruskan dan Ahmad Zahid mesti membuktikan dia tidak bersalah di mahkamah.

“Jika Ahmad Zahid dicalonkan untuk menganggotai Kabinet sebagai Pengerusi BN, tidak terpulang kepada PH untuk menolak. Ini hanyalah prinsip kerjasama dan tanggungjawab kolektif,” kata Tian Chua lagi.

Beliau menegaskan, PH tidak mampu untuk bercanggah dengan BN pada peringkat itu dan kerjasama Anwar dan Ahmad Zahid amat penting dalam Kerajaan Perpaduan.

Untuk rekod, Tian Chua bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini dan kalah.

Beliau bertindak demikian selepas PKR tidak menamakan dirinya  untuk mendapatkan semula kerusi yang pernah dipegang sebelum ini. – MalaysiaGazette