Dong Zong

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) memohon pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) dibincang secara rasional berikutan ia membabitkan isu akademik dan seharusnya dibincangkan secara rasional.

Dalam kenyataannya, Dong Zong berkata, ia memahami kebimbangan masyarakat Melayu, justeru pihaknya sudi berdialog dan berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman antara satu sama lain, membina asas saling percaya dan meningkatkan muafakat agar dapat mendalami pelbagai isu pendidikan secara rasional dan pragmatik.

Jelasnya, UEC bukanlah satu petunjuk politik, oleh itu ahli-ahli politik tidak boleh menginterpretasikan UEC sewenang-wenangnya secara berlebihan untuk kepentingan peribadi.

”Kami menyeru pelbagai pihak supaya jangan menjadikan UEC sebagai alat politik yang sengaja digembar-gemburkan sebagai isu kaum.

”Tidak kira mana-mana parti politik menjadi kerajaan, pendirian Dong Zong selama ini adalah untuk membantu negara kita dalam pembangunan modal insan, dan bertegas untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC secara akademik dan profesional ,” katanya dalam kenyataan itu.

Isu ini tercetus semula selepas Dong Zong membangkitkan semula gesaan supaya UEC diiktiraf baru-baru ini, menyebabkan beberapa pihak tidak berpuas hati.

Dong Zong menambah, Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kerajaan baharu mula dibentuk dan pelbagai lapisan masyarakat mengharapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melakarkan pelan pembangunan baharu untuk negara ini.

Malangnya, isu pengiktirafan UEC pula diperbesarkan dan digembar-gemburkan secara berlebihan dengan cubaan untuk mencetuskan konflik sosial dan mewujudkan permusuhan dan persengketaan

Tambahnya, Dong Zong tetap teguh percaya dengan memperbetulkan penyelewengan dalam dasar pendidikan, semua murid atau pelajar dapat menikmati peluang dan sumber pendidikan yang adil dan dengan ini dapat meningkatkan daya saing negara kita.

Menurut Dong Zong, semua kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk mata pelajaran Sejarah, adalah digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kurikulum SMPC juga menetapkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan keadaan kepelbagaian pendidikan di negara kita.

Malah, teras pendidikan SMPC bertujuan untuk membentuk pembelajaran dan keupayaan para pelajar agar dapat memenuhi trend pembangunan pendidikan sedunia.

UEC merupakan satu pentaksiran akademik, sama serupa dengan pentaksiran STPM, IB, A-Level dan sebagainya. – MalaysiaGazette