KUALA LUMPUR — Hujan lebat berterusan diramal berlaku di Timur Sabah, pantai timur, dan Utara Semenanjung bagi tempoh 1 hingga 5 Disember depan.

Menurut Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia), ia disebabkan oleh angin timuran yang kencang dari barat Lautan Pasifik.

“Ombak besar dan angin kencang turut dijangka melanda pesisir pantai serta perairan Kelantan dan Terengganu. Keadaan ini adalah berbahaya kepada sebarang aktiviti pantai dan laut.

“Justeru, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) melibatkan timur Sabah, pantai timur dan utara Semenanjung dalam tempoh 1 sehingga 4 Disember,” kata agensi itu menerusi satu kenyataan hari ini.

Sepanjang tempoh 1 hingga 3 Disember, amaran dikeluarkan di Hulu Perak, Perak; Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, dan Kuala Krai di Kelantan.

Amaran sama dikeluarkan di Terengganu; Jerantut, Kuantan, dan Pekan di Pahang.

Hujan berterusan juga dijangka berlaku di Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran, dan Sandakan) dan Kudat pada 1 Disember esok.

Manakala di Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang pula amaran dikeluarkan pada 3 Disember hingga 4 Disember.

Pada masa sama, satu sistem cuaca bertekanan rendah juga dijangka terbentuk di Laut China Selatan pada 2 Disember.

MetMalaysia meramalkan sistem berkenaan bergerak ke arah barat merentasi sempadan Malaysia – Thailand menuju ke Laut Andaman pada 3 hingga 4 Disember dimana kewujudannya boleh meningkatkan intensiti hujan.

Sehubungan itu, orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan untuk lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dan mendapatkan  perkembangan dari semasa ke semasa melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, dan media sosial rasmi.

Talian hotline MET Malaysia 1-300- 22-1638 juga boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut. -MalaysiaGazette