Mahfuz Omar.-Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Retorik parti tunggangan DAP telah sempurna selepas Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar, retorik ahli dan parti politik menjadi boneka DAP bermula selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada UMNO.

Tidak terkecuali didakwa menjadi tunggangan DAP adalah Pas dan Bersatu apabila kedua-dua parti itu mengadakan kerjasama dengan DAP sebelum ini.

“Dulu bila Anwar dipecat dari UMNO beliau berjaya menyatukan pembangkang. Pas pun berkawan dengan DAP. UMNO tuduh Pas jadi kuda tunggangan DAP.

“Lepas tu Muhyidin dipecat daripada UMNO dan join PH. Bersatu pun berkawan dengan DAP. UMNO tuduh Bersatu jadi khadam DAP.

“Sekarang BN kalah teruk dan bentuk kerajaan bersama PH. UMNO pun berkawan dengan DAP. Pas dan Bersatu pula tuduh UMNO jadi boneka DAP,” kata Mahfuz.

Mahfuz yang kalah teruk di Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum ke-15 berkata, dengan penyertaan BN dalam Kerajaan Perpaduan bersama-sama PH maka retorik parti tunggangan DAP telah sempurna.

Melalui Kerajaan Perpaduan secara tidak langsung UMNO telah bekerjasama dengan DAP.

Beliau menegaskan, retorik menjadi khadam DAP hanyalah permainan politik orang Melayu.

So … kitaran ini telah pun sempurna. Pas, Bersatu, dan UMNO semuanya pernah jadi kuda tunggangan, khadam dan boneka DAP.

“Itulah retorik politik Melayu dari dulu sampai sekarang. Nak tarik sokongan Melayu, mesti tuduh pihak lawan yang berkawan dengan DAP dengan pelbagai tuduhan.

“Substance tidak ada … hanya main wayang sahaja,” kata beliau melalui media sosial.

UMNO sebelum in menjadi satu-satunya parti Melayu yang belum mempunyai sebarang hubungan kerjasama dengan DAP.

Bagaimanapun selepas kekalahan teruk pada pilihan raya lalu UMNO melalui BN menjadi ‘king maker’ untuk menentukan sama ada PH atau Perikatan Nasional menjadi Kerajaan Persekutuan.

BN kemudiaannya memilih untuk menyokong PH sekali gus menyaksikan buat pertama kali UMNO menjalinkan kerjasama secara rasmi dengan DAP melalui kerajaan yang dibina oleh kedua-dua parti bersama-sama parti dari Sabah dan Sarawak.-MalaysiaGazette