Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid bersama Pengerusi Jemaah Pengarah (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-49 di Hotel Everly, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2022.

PUTRAJAYA – PUTRAJAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melancarkan logo bagi Peladangnita dan Peladang Muda peringkat kebangsaan yang lebih segar dan dinamik serta mempunyai identiti tersendiri.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob berkata, Peladangnita terdiri daripada ahli peladang wanita yang berusia 40 tahun ke atas dengan jumlah keahlian hampir 350,000 ahli.

Menurut beliau, Peladang Muda pula terbuka kepada ahli peladang lelaki dan wanita yang berusia 18 tahun hingga 40 tahun dengan keahlian hampir 100,000.

“Saya pada ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada tiga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang telah membuat penambahan pelaburan Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) – Dana Peladang Kebangsaan (DPK) yang tertinggi sehingga November 2022.

“NAFAS melalui DPK sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi untuk menjadi lebih kukuh dengan pelbagai perancangan pelaburan alternatif serta meneroka produk pembiayaan baharu untuk manfaat ahli-ahli,” katanya.

Pengerusi Jemaah Pengarah (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob berucap pada Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-49 di Hotel Everly, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2022.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS Ke-49 Bagi Tahun 2022 yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid di sebuah hotel di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, NAFAS berharap kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih peka dan prihatin terhadap keluh resah serta denyut nadi rakyat dalam meringankan beban kos sara hidup khususnya dalam kalangan ahli-ahli peladang.

Ini kerana golongan itu sentiasa berhadapan dengan pelbagai situasi dan risiko pertanian lebih-lebih lagi dalam situasi luar jangka seperti pandemik Covid-19 yang telah memberi impak selama dua tahun.

Justeru menurut beliau, dalam tempoh sebulan lagi untuk melangkah ke tahun 2023, barisan Ahli Jemaah Pengarah optimis ke arah usaha mentransformasikan NAFAS untuk mencapai keuntungan.

“Walaupun kedengaran berat dan pahit, namun inilah kenyataan yang kita semua hadapi, bermula dari tercetusnya pandemik Covid-19 sehingga ke hari ini merupakan tahun yang mencabar dengan situasi ketidaktentuan ekonomi dunia yang berlarutan sehingga tahun ini.

“Malahan pada Mac lalu, dunia digemparkan dengan konflik antara Rusia dan Ukraine yang menyebabkan bekalan bahan mentah bagi pembuatan baja kita terjejas.

“Konflik yang berterusan menyebabkan harga komoditi seluruh dunia melonjak di mana Russia, Belarus dan Ukraine adalah pengeksport utama bahan mentah baja.

“Dalam mendepani isu itu, NAFAS terpaksa mencari solusi untuk memastikan Kilang NAFAS di Gurun dapat memproses pembuatan baja sekaligus dapat memenuhi permintaan pesawah walaupun jadual penghantaran sedikit lari dari jadual asalnya,” katanya. – MalaysiaGazette

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haslina Abdul Hamid (duduk,tiga kanan) diiringi Pengerusi Jemaah Pengarah (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob (duduk, tiga kiri) bergambar bersama Pengurusan Tertinggi NAFAS pada Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-49 di Hotel Everly, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2022.