Abdul Hadi Awang

ROMPIN – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersedia dan terbuka untuk memberi keterangan jika dipanggil Bukit Aman bagi disiasat berhubung tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan, beliau tidak pernah membuat kenyataan seperti yang dinyatakan.

Jelas Abdul Hadi,  beliau tiada sebarang masalah jika disiasat malah itu bukan kali pertama dipanggil Bukit Aman.

“Saya bukan sekali dua dipanggil Bukit Aman. Boleh pergi Bukit Aman, tak jadi masalah. Memang saya terbuka, sedia untuk disiasat.

“Siapa kata Anwar ejen Israel? Saya tak kata, kalau saya tak kata, dia yang kata, terserah dia lah.

“Bukit Aman tahu saya kata, tak kata sebab apabila saya ceramah pun dia rakam, kenyataan media saya pun Bukit Aman baca. Saya kata, tak kata ke terpulang,” katanya.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata demikian ketika sidang media sejurus ceramah PN di Bandar Baru Rompin di sini semalam.

Media melaporkan Presiden Pas itu disiasat oleh Bukit Aman kerana menuduh Perdana Menteri sebagai ejen Israel.

Sementara itu, semalam media melaporkan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad akan disiasat  berhubung kenyataannya yang mendakwa Perdana Menteri sebagai ejen Israel.

Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Noorsiah Mohd. siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette