PERJALANAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri bukan mudah, malah mengambil masa selama 24 tahun.
Beliau juga terpaksa melalui liku mendapatkan sokongan parti lawan selepas Pakatan Harapan yang dipimpinnya tidak memperoleh majoriti mudah.
Sudah tentu dengan pengalaman yang perit untuk menjadi orang nombor satu, perkara yang perlu dititik beratkan oleh beliau sebagai Perdana Menteri adalah pelantikan anggota Kabinet.
Menurut Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, reputasi Anwar kini bergantung kepada siapa yang akan dipilih menjadi orang kanan dan menteri dalam Kabinet.
“Pelantikan beliau mendapat perhatian dan disambut oleh pemimpin dunia.
“Sudah tentu Kabinet yang hendak dibentuk oleh Anwar perlu diisi oleh anggota Kabinet yang benar-benar layak, berprestasi tinggi dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik,” jelas Izani.
Menurut beliau, Anwar perlu mengelak daripada melantik mereka yang mempunyai kes di mahkamah.
Katanya, banyak Ahli Parlimen lain yang lebih layak untuk menyertai Kabinet beliau terutama jawatan timbalan perdana menteri.
“Dari segi persepsi dia akan mewujudkan pandangan yang tidak baik kepada kerajaan seolah-olah tidak ada calon lain.
“Dan ini akan memberikan tangapan bahawa kerajaan berlembut dan berkompromi terhadap individu yang pernah disabitkan dengan dakwaan salah laku dan sebagainya.
“Ia mendatangkan padangan negatif terhadap Anwar sebagai perdana menteri,” jelas Izani.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof antara calon yang sesuai sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Selain ‘bersih’ kedua-dua mereka mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan ekonomi yang boleh membantu Anwar terutama mengenai subsidi bersasar.
“Mohamad mempunyai pengalaman pentadbiran yang luas. Pernah menjadi Menteri Besar. Dia tokoh politik yang disenangi dan tidak ada kes mahkamah. Dia juga ada latarbelakang ekonomi.
“Fadillah mempunyai pengalaman dalam Kabinet dan mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran. Mereka ini tidak ada isu integriti dan salah laku serta tidak pernah didakwa di mahkamah,” katanya.
Anwar juga memerlukan seorang menteri yang benar-benar mahir dalam bidang ekonomi untuk membantu melegakan kos sara hidup rakyat.
Calon menteri terbabit menurut Izani, perlu dilantik dalam kalangan mereka yang berpengalaman seperti Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kita memerlukan calon yang sudah bersedia untuk berkhidmat dan menjalankan tugas.
“Kalau pilih calon lain, dia mungkin tidak ada pengalaman dalam kerajaan dan memerlukan masa yang panjang untuk membuat tindakan dan perancangan.
“Datuk Johari adalah yang sesuai buat masa ini. Dia masuk Kabinet terus bekerja sebagai Menteri Kewangan berbanding calon lain yang mungkin biar pun mereka ada pandangan baik tetapi mungkin ambil masa adaptasi dengan sistem dan sebagainya,” kata Izani.
Menurut Izani beberapa ahli Parlimen turut layak untuk dilantik sebagai menteri termasuk Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Naib Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Johor tu berpengalaman luas sebagai menteri di Kementerian Pengajian Tinggi serta Menteri Usahawan dan Pembangunan Koperasi.
“Beliau sesuai sama ada sebagai menteri pendidikan atau menteri pembangunan luar bandar,” katanya.
Sementara itu Pakar ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkelayakan untuk diangkat sebagai menteri kewangan.
Menurut beliau, Timbalan Presiden PKR itu mempunyai pengalaman dalam bidang korporat serta mempunyai kepakaran dari segi pengumpulan data yang amat diperlukan dalam menguruskan ekonomi.
“Dia juga mempunyai latarbelakang korporat dan tahu selok belok Kementerian Kewangan bila beliau membuat pembongkaran beberapa skandal dalam kerajaan.
“Subsidi bersasar memerlukan gabungan teknologi dan pangkalan data. Kita kena kenalpasti siapa yang benar-benar layak tanpa berlaku ketirisan atau salah guna.
“Kita melihat Rafizi dari segi pangkalan data memang pakar melalui syarikat Invoke. Dia selesa dengan teknologi dan mudah merencanakan subsidi bersasar mengunakan data yang ada,” kata Ahmed Razman.
Selain Rafizi beberapa ahli Parlimen dilihat berkelayakan untuk diangkat sebagai menteri.
Antaranya Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke; Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri dan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan antara kementerian yang perlu diberikan perhatian oleh Anwar. -MalaysiaGazette
ingatkan anwar ni cerdik . tapi tak tahu lah lagi . kita tengok 100 hari apa nak jadi pm terbengkalai buat kerja . dah lah kerajaan darurat takut rupanya kepada umno . kenang budi anak murid bagi kuasa jadi pm kena lah hormat . padahal orang umno sendiri pun dah nak singkir dah . nanti mesyuarat agong je dah