KUALA LUMPUR – DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mengumumkan peletakan jawatan Sharifah Sofia Syed Mokhtar Shah sebagai Pengarah Bukan Eksekutif berkuatkuasa 20 Disember 2022.

Sharifah Sofia dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Syarikat pada 13 April 2018.

Selepas berkhidmat sebagai Pengarah selama hampir lima tahun, Sharifah Sofia kini mahu menumpu kepada minat beliau dalam pelaburan pasaran baharu muncul.

Beliau pernah menerima pendedahan di dalam bidang tersebut ketika memulakan kerjayanya sebagai penganalisis di Morgan Stanley, Singapura, selain pernah menjadi Perunding Luar kepada Bill & Melinda Gates Foundation dari Oktober 2015 hingga Mei 2016.

Sharifah Sofia juga pernah berkhidmat dengan Grameen Bank, Bangladesh dan memperoleh pengalaman dalam bidang pembiayaan mikro dan operasi
perniagaan sosial.

Selain itu, beliau juga memegang jawatan eksekutif dalam kumpulan ini apabila menyertai Pos Malaysia Berhad (sebuah anak syarikat DRB-
HICOM) sebagai Pegawai Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dari Januari hingga Oktober 2017.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Ekonomi dari University of York, United Kingdom, dan seterusnya, memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Pembangunan dari London School of Economics and Political Science dan juga merupakan Pelatih Kongres di Washington DC, Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette