KDNK Terengganu
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Syarat mendaulatkan Melayu dan Islam akan menjadi penentu kepada usia Kerajaan Perpaduan antara UMNO dalam Barisan Nasional (BN) dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH).

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, syarat itu pernah diletakkan oleh Pas ketika bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Syarat yang dikenakan oleh Pas dahulu untuk bekerjasama dengan DAP ialah Islam dan Melayu.

“Apabila syarat tidak dipenuhi maka Pas menerusi Majlis Syura Ulamak diusulkan untuk membuat keputusan keluar daripada gabungan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat kemudiannya bertukar menjadi Pakatan Harapan.

“Demikian juga BN hari ini mensyaratkan Islam dan Melayu dalam kerjasama dengan PH. Jika syarat dipenuhi maka panjanglah jangka hayat kerjasama ini. Sebaliknya jika tidak, ia boleh dileraikan sesuai dengan perjanjian,” katanya.

Mohd Khairuddin mengulas polemik kerjasama BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan oleh beberapa pihak.

Menurut beliau kerjasama antara parti-parti politik yang berbeza ideologi adalah perkara normal dalam politik sama ada sebelum atau selepas pilihan raya untuk membentuk kerajaan.

Ia adalah ijtihad semasa parti-parti politik demi perjuangan masing-masing untuk mencari kebaikan bagi rakyat.

Beliau memberikan contoh kerjasama Parti Saadat bersama The Republican People’s Party di Turki yang berbeza ideologi tetapi boleh  menubuhkan kerajaa demi rakyat.

Malah Pas juga melakukan perkara sama pada Pilihan Raya Umum 2008 untuk bergandingan dengan DAP bagi membentuk kerajaan di Selangor dan Perak.

Parti Pas telah menolak untuk bekerjasama dengan BN walaupun parti itu mendapat kerusi yang tinggi.

“Selepas PRU 2008 Pas yang mempunyai lapan kerusi DUN di Selangor mengambil keputusan menyokong DAP dan PKR yang masing-masing memenangi 11 dan 15 kerusi untuk membolehkan pembentukan kerajaan dengan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada PKR sebagai Menteri Besar.

“Pas menolak untuk menyokong BN yang mempunyai 34 kerusi bagi menamatkan legasi pemerintahan BN sejak sebelum merdeka di bumi Selangor.

“Begitu juga di Perak. Pas yang hanya menang enam kerusi DUN dalam PRU 2008 membuat keputusan menyokong DAP dan PKR yang masing-masing memenangi 18 dan 7 kerusi. Hasilnya Pas mendapat laba menjadi Menteri Besar walaupun mempunyai bilangan kerusi terkecil,” katanya.

Menurut beliau, pada waktu itu Pas menolak untuk menyokong BN yang mempunyai kerusi terbanyak 27 kerusi di Perak tetapi tidak boleh menubuhkan kerajaan melainkan dengan kerjasama parti lain.

Beliau menjelaskan Pakatan Rakyat hanya ditubuhkan selepas PRU 2008.

Menurut beliau, sejarah berulang pada PRU lalu dengan BN mengambil tempat Pas untuk menyokong Pakatan Harapan di Perak dan Pahang serta Kerajaan Pusat.

“Bezanya dulu Pas adalah ‘king maker‘ dan menjadi MB walau dengan enam kerusi tetapi hari ini BN pula ‘king maker; dan menjadi MB walau dengan sembilan kerusi.

“Begitulah roda politik berputar, sekali di atas dan sekali di bawah.

“Begitu juga di Pahang BN yang mempunyai 16 kerusi bersetuju membentuk kerajaaan dengan PH yang ada sembilan kerusi DUN dan tidak bersama dengan PN yang mempunyai 17 kerusi DUN. MB dilantik daripada BN lalu menafikan impian PN menakluk bumi Pahang,” katanya.

Beliau berkata, setiap parti membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk kesinambungan perjuangan parti masing-masing kerana ianya adalah ijtihad dan keputusan politik semasa.-MalaysiaGazette