MELAKA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka mengenal pasti lima pencawang elektriknya yang berisiko ditenggelami banjir bagi mengelakkan berlakunya kejadian terputus bekalan elektrik pada musim tengkujuh akhir tahun ini.
Pengurus Besar TNB Melaka, Khairizam Ibrahim berkata, ia melibatkan pencawang di kawasan Taman Merdeka serta Sungai Putat bagi daerah Melaka Tengah dan Brisu di Alor Gajah.
“Ketiga-tiga pencawang di kawasan rendah ini telah kita tinggikan kedudukannya selain turut membuat kepungan konkrit bagi mengelakkan air memasuki kawasan terbabit.
“Ada juga kawasan ini yang kita tinggikan sedikit supaya ia tidak ditenggelami banjir yang menyebabkan kami kerugian sehingga RM50,000 bagi sesebuah pencawang bergantung pada tahap kerosakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi Jaringan Bersama Pengamal Media Negeri Melaka di sebuah hotel di sini.
Hadir sama, Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) Amir Mamat.
Mengulas lanjut Khairizam berkata, dua lagi pencawang berisiko banjir dijangka dinaik taraf menjelang tahun depan.
“Kebanyakan kawasan pencawang rendah ini terletak di Alor Gajah manakala tiada pencawang berisiko banjir di Jasin,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 92 peratus kediaman atau 330,000 pengguna di negeri ini sudah beralih kepada pemasangan meter pintar (smart meter) TNB.
Menurutnya, baki lapan peratus atau sekitar 40,000 lagi pengguna masih tegar untuk menggunakan meter lama.
“Kumpulan tegar ini akan terus kita dekati dan santuni agar mereka dapat segera beralih kepada meter pintar menjelang tahun hadapan.
“Walaupun mereka ini sukar menerima smart meter pada mulanya, kita yakin lama kelamaan mereka akan terbuka untuk memasang meter digital ini setelah mendengar sendiri testimoni daripada rakan-rakan mengenai kelebihan alat pintar ini,” katanya. – MalaysiaGazette