Aziz Tambi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Melaka hari ini atas dua pertuduhan iaitu menembak seekor kucing dengan senjata dan memiliki senapang angin tanpa lesen sah lima bulan lalu.

MELAKA – Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Melaka hari ini atas dua pertuduhan iaitu menembak seekor kucing dengan senjata dan memiliki senapang angin tanpa lesen sah lima bulan lalu.

Tertuduh, Aziz Tambi, 62 membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam dua prosiding berasingan di hadapan Majistret Nabilah Nizam dan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang angin tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Kesalahan dilakukan di No 430-1 Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai, dalam daerah Melaka Tengah di sini pada kira-kira pukul 8 malam 19 Jun lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan di hadapan Hakim Darmafikri pula, tertuduh didakwa telah menembak seekor kucing dengan senapang angin sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap haiwan terbabit.

Kesalahan di bawah Seksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 itu dilakukan di alamat sama kira-kira jam 2.30 petang 18 Jun lalu yang boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin dan Muhammad Nazrin Ali Rahim sementara tertuduh diwakili peguam Isyak Kari.

Muhamad Ehsan memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM5,000 bagi pertuduhan pertama manakala Muhammad Nazrin memohon RM20,000  bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen dengan seorang penjamin.

Isyak dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan yang rendah mengambil kira usia lanjut tertuduh yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan harian RM50 selain masih perlu menyara anaknya.

Bagi mengimbangi jumlah jaminan rendah, peguam bela tertuduh juga mencadangkan mahkamah mengenakan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sepanjang kes berjalan.

Nabilah dan Darmafikri kemudian masing-masing menetapkan wang jaminan RM2,500 dan RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan kes.

Media pada 21 Jun lalu melaporkan seorang warga emas tergamak mencederakan seekor kucing secara menembak haiwan peliharaan jirannya itu menggunakan senapang angin kerana marah haiwan itu masuk ke rumahnya.

Akibat perbuatan itu, kucing berkenaan disahkan mati selepas pemeriksaan doktor sebuah klinik haiwan menemui kesan luka dan beberapa butir logam yang dijadikan peluru menembusi belakang badan haiwan malang itu. – MalaysiaGazette.