Adly Zahari

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan Perdana Menteri berhubung jawatan ahli Parlimen mereka dalam senarai Kabinet yang dijangka diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Pengerusinya Adly Zahari berkata, walaupun PH Melaka merekodkan pencapaian baik apabila memperoleh tiga daripada enam kerusi Parlimen dalam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, ia bukan jaminan berada dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, pelantikan jawatan itu hak prerogatif Perdana Menteri dan setakat ini beliau tidak mempunyai maklumat mengenai senarai itu.

“Saya tiada maklumat itu (senarai Kabinet) kerana ia terpulang pada kuasa dan hak prerogatif Perdana Menteri malah setakat ini kita (PH Melaka) tidak ada apa-apa perbincangan mengenainya.

“Tiada (rundingan) juga dan setakat semalam kita belum buat apa-apa keputusan lagi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Ditanya, adakah kemungkinan besar beliau mempunyai tempat dalam senarai Kabinet Anwar, bekas Ketua Menteri Melaka itu yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pengerusi Amanah Melaka itu tidak mahu memikirkan perkara itu.

“Tiada komen lagi tentang itu dan sekarang ini eloklah kita tunggu sahaja pengumuman yang dibuat Perdana Menteri,” katanya.

Semalam, media melaporkan Anwar dijangka mengumumkan barisan Kabinetnya selewat-lewatnya hari ini bagi membolehkan Jemaah Menteri baharu mengangkat sumpah sebelum hujung minggu ini.

Ia dipercayai bagi membolehkan Kabinet Kerajaan Perpaduan itu segera dibentuk susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dijangka ke luar negara Sabtu ini.

Keputusan PRU15 pada  19 November lalu, PH Melaka menang tiga kerusi Parlimen termasuk merampas kerusi Alor Gajah daripada Perikatan Nasional (PN) selain mengekalkan kuasanya di Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya.

PN pula berjaya menawan baki tiga lagi kerusi di Parlimen Tangga Batu, Jasin dan Masjid Tanah.

Barisan Nasional (BN) pula buat pertama kali dalam sejarah PRU tewas di semua enam kerusi Parlimen walaupun menang di semua 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri pada 20 November tahun lalu manakala bakinya dimenangi PH (5) dan PN (2) – MalaysiaGazette