Mohd Hatta Ramli

 

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengumpulkan maklumat berkaitan tindakan segelintir ahlinya keluar parti bagi memastikan parti di peringkat negeri dan kawasan yang terjejas dapat dipulihkan melalui pelaksanaan Mesyuarat Penggantian Jawatankuasa Pimpinan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata, parti itu mengambil maklum tindakan segelintir ahli yang bertindak keluar parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Menurutnya, ada dalam kalangan kumpulan tersebut, terdapat individu yang dipecat lebih awal selepas siasatan mendapati berlaku pelanggaran disiplin yang berisiko menjejaskan keharmonian dan fokus parti untuk menghadapi PRU.

Namun, tidak ada mana-mana peringkat organisasi yang terbubar ekoran tindakan keluar parti ini.

Menurut beliau, sama seperti parti politik lain. Amanah yang sudah berusia lapan tahun juga mengalami turun naik dalam usaha untuk memastikan parti ini boleh terus berkembang pesat dan diterima oleh semua kaum dan agama dalam negara ini.

Namun, katanya, setiap cabaran dan masalah yang dihadapi akan dibawa ke dalam mesyuarat untuk dibincangkan sebelum sesuatu keputusan diambil, sesuai dengan budaya pentadbirannya yang menekankan konsep ‘kepimpinan kolektif’.

Budaya kepimpinan beginilah yang telah mematangkan Amanah untuk kekal kukuh sebagai sebuah parti politik yang berteraskan idealisme progresif dan peduli, ujar beliau. – MalaysiaGazette
.