Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 DECEMBER 2022.

SHAH ALAM – Polis masih menyiasat insiden tembakan kediaman penyampai radio di Seri Aman Heights, Desa Jaya awal pagi hari ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor. Datuk S.Sasikala Devi berkata, pihaknya perlu menyiasat kejadian itu daripada pelbagai sudut dan kemungkinan.

“Buat masa ini, kes masih disiasat kita juga telah buka kertas siasatan.

“Oleh kerana rumah tersebut berhadapan kawasan hutan jadi kami perlu siasat dari pelbagai sudut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)  Selangor.

Terdahulu, penyampai radio wanita yang dikenali sebagai Dj Aki berhadapan detik cemas selepas kediamannya di Seri Aman Heights, Desa Jaya terkena tembakan awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, Pusat Kawalan Daerah IPD Gombak menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada seorang lelaki pada jam 1.50 pagi memaklumkan terdengar bunyi letupan di luar rumah dan terdapat kesan berlubang pada pintu kayu hadapan rumah.

Sementara itu Sasikala Devi memaklumkan pihaknya telah menerima 458 laporan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Ujar beliau, majoriti laporan yang dibuat oleh anggota polis berkaitan penugasan dalam tempoh berkempen.

“Ada sebahagiannya laporan anggota mengenai ceramah, bendera parti,” katanya.

Menurutnya, daripada laporan berkenaan satu telah dituduh di bawah 160 Kanun Keseksaan.

“86 kertas siasatan telah dibuka, 13 kertas dapat arahan NFA (No Further Action) dan baki masih dalam siasatan polis,” katanya. -MalaysiaGazette