Muhammad Hazziq Ramdan, 20, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap teman wanitanya sehingga melahirkan bayi November lalu.

MELAKA – Seorang remaja lelaki dipenjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol teman wanitanya sehingga melahirkan bayi pada November lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Hazziq Ramdan, 20, yang mengaku melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol perempuan berusia 17 tahun di sebuah rumah di Pangsapuri Sri Siantan dekat sini pada sekitar pukul 3 petang hujung Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengaku melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di tempat, masa dan pada tarikh yang sama dan menjadi kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa melahirkan bayi di dalam tandas di rumahnya pada kira-kira pukul 12 tengah malam pada 18 November lalu sebelum dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan lanjut.

Susulan itu, ibu kandung mangsa berusia 42 tahun yang merupakan pengadu kes kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kandang.

Terdahulu tertuduh yang beralamat di Taman Tangkak Jaya, Jalan Payamas Tangkak, Johor merayu hukuman ringan dengan alasan mahu menjaga mangsa dan bayi berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asyraf Anuar Sharuddin bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas dua kesalahan dilakukan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh dan lima tahun tahun serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang
berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 November lalu. – MalaysiaGazette