Kredit : Fb Terengganu FC

KUALA TERENGGANU – Terengganu FC (TFC) memulakan langkah awal dengan mengikat penyerang import baharu, Sony Norde bagi memperkuat jentera skuad itu musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Ab Rasid Jusoh berkata pemain kelahiran Haiti berusia 33 tahun itu telah menandatangani kontrak selama setahun dengan pihaknya.

Beliau berkata sebelum menyertai TFC, Norde yang juga bekas pemain kebangsaan Haiti pernah mencipta nama dengan pasukan Melaka United FC.

“Norde yang akan menyarung jersi nombor 11 bakal beraksi di posisi serangan dan sayap, bergantung kepada kedudukan taktikal yang akan dirangka Ketua Jurulatih Tomislav Steinbruckner.

“Beliau memiliki kualiti penyerang yang sangat baik ketika beraksi dengan Melaka United FC musim ini. Kita berharap agar kehadirannya dapat menguatkan jentera di posisi tersebut musim depan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Norde berkata beliau berasa amat teruja kerana berpeluang beraksi bersama skuad Penyu yang dianggap sebagai pasukan gergasi bola sepak negara masa kini.

Katanya, antara faktor yang mendorong beliau memilih untuk bersama TFC ialah peluang beraksi di pentas Piala Konderasi Asia (AFC) dan rasa kagum terhadap sokongan peminat tegar bola sepak Terengganu terhadap pasukan kesayangan mereka.

Norde yang berketinggian 1.78 meter memulakan karier bola sepak profesional dengan menyertai skuad pembangunan, Boca Juniors di Argentina pada 2008 hingga 2011, sebelum berhijrah ke Liga Mexico untuk bersama kelab San Luis B dan Altamira.

Kelab lain yang pernah disertainya ialah Sheikh Russel KC dan SJD Club dalam Liga Bangladesh; kelab terkemuka India, Mohun Bagan serta Mumbai City FC; dan terakhir Zira FK iaitu kelab dalam liga utama Azerbaijan sebelum berhijrah ke Liga Malaysia melalui Melaka United FC. – BERNAMA