Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan mengadakan Majlis Istiadat Konvokesyen ke-24 bermula esok hingga 9 Disember ini di Dewan Tuanku
Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kali ini UPSI akan menganugerahkan ijazah kepada 6,067 graduan termasuk lapan yang menerima secara anumerta.

Canselor, Tuanku Zara Salim akan merasmikan majlis istiadat itu pagi esok, seterusnya menyampaikan anugerah ijazah kepada 586 graduan.

Daripada jumlah itu, seramai 123 graduan ijazah doktor falsafah, 191 sarjana dan 272 ijazah sarjana muda dan bakinya pada sesi kedua hingga kesembilan.

Pada sesi pertama juga, baginda akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Prof Datuk Dr Noraini Idris yang bergiat aktif dalam bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraam dan matematik).

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, pernah menjadi editor jurnal bertaraf antarabangsa serta berjaya menghasilkan lebih 30 buku secara bersendirian dan bersama rakan penyelidik. – MalaysiaGazette