Dr. Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Kedudukan parti UMNO yang kukuh menguntungkan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pembentukan Kabinet baharu dibuat berasaskan rundingan serta saling menghormati terutamanya membabitkan hiraki parti.

Katanya, menerusi jumlah 28 menteri iaitu saiz yang agak kecil, semua parti berpuas hati dengan pembahagian yang rumit tetapi melepasi politik tikam belakang.

“Tidak perlu jumlah Kabinet besar dan tidak perlu jawatan jaga hati seperti special envoy bertaraf menteri atau menteri kanan.

“Itu semua kosmetik yang dibuat oleh (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin),” katanya menerusi zhantara di Facebook hari ini.

Menurut Mohd Puad lagi, pembentukan Kabinet Anwar jauh berbeza dengan cara Muhyiddin yang didakwa membelakangkan rundingan, tidak menghormati hiraki parti serta berniat melemahkan rakan kongsi.

“Kali ini bila rundingan dibuat fokusnya ialah jangka hayat kerajaan ini mesti sampai habis penggal. Tidak akan ada tekan butang dan tidak ada tukar PM sampai tiga kali.

“UMNO yang kukuh menguntungkan Kabinet baru ini. Kerajaan yang stabil menguntungkan rakyat dan negara. Tidak salah kita mencuba pendekatan baru ini walau ada yang was was.

“Walau dimomokkan dengan persepsi ‘kluster mahkamah’ menjadi tanggungjawab kerajaan perpaduan ini membuktikan ia jujur anti rasuah dan bekerjasama atas prinsip trust,” tambahnya. – MalaysiaGazette