Home Nasional Lima kes penduduk Saujana Heights diserang anjing liar

Lima kes penduduk Saujana Heights diserang anjing liar

TELUK KUMBAR – “Pangsapuri Saujana Heights ini ibarat zoo, ada babi hutan, ular sawa tapi paling mengancam dan membimbangkan penduduk kini adalah isu anjing liar.”

Itu keluhan kata seorang penduduk, Siti Sarah Mohd Isa, 42, mengenai ancaman anjing liar yang ‘menghantui’ mereka pada masa ini.

Menurutnya,, kira-kira 3,020 penghuni pangsapuri terbabit berdepan risiko diserang anjing liar yang berkeliaran di kawasan tersebut sejak kebelakangan ini. 

Jelasnya, sudah lima penduduk pangsapuri tersebut diserang anjing liar hingga mengakibatkan seorang daripadanya terpaksa mendapatkan rawatan perubatan.

Siti Sarah.

“Anjing ini dipercayai datang dari sebuah tokong yang terletak di atas bukit iaitu tidak jauh daripada kawasan pangsapuri ini dan apabila ada segelintir penduduk beri makanan membuatkan dia terus tinggal di sini.

“Namun kini, seekor daripada anjing terlalu agresif menyerang penduduk. Kami sudah disuarakan isu ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan beliau meminta pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuat tangkapan namun bukan semua ditangkap,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Noraniza Ibrahim, 45, berkata, kehadiran anjing liar menghantui penduduk pada September tahun lalu namun keadaan itu menjadi keruh apabila anjing tersebut mula bertindak agresif sejak tiga bulan lalu.

Noraniza.

Katanya, kebimbangan terhadap haiwan tersebut disuarakan kerana dikhuatiri akan menyebabkan kawasan tersebut dijangkiti wabak Rabies yang boleh menyebabkan kematian kepada individu yang terkena gigitan. 

“Bukan itu saja ibu bapa juga takut bila anak mereka turun untuk sekolah hingga ada yanh terpaksa hantar anak hari-hari. Setakat ini tiada kanak-kanak diserang tapi kita bimbang jika tidak dibendung ia akan merisikokan golongan tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, penduduk berharap anjing liar itu ditangkap oleh pihak bertanggungjawab agar tiada insiden tidak diingini berlaku di pangsapuri tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anjing liar ancaman penduduk Bayu Nyaman