Hamzah Zainudin

LARUT – Perikatan Nasional (PN) akan memainkan peranan penting sebagai pembangkang di Parlimen, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Kita akan jadi pembangkang yang sentiasa melihat sebarang kemungkinan, perjuangkan segalanya demi rakyat dalam menentukan hala tuju negara lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan memegang jawatan ketua pembangkang di Dewan Rakyat, Hamzah berkata perkara itu akan diputuskan kelak.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 akan berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis, dengan antara agenda utama ialah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengenai pelantikan enam menteri dari Perak ke dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, Ahli Parlimen Larut itu berkata ia satu penghormatan tinggi dan perlu diterjemahkan ke dalam perkhidmatan serta pentadbiran yang baik.

Anwar semalam mengumumkan pelantikan 28 anggota Jemaah Menteri bagi Kerajaan Perpaduan termasuk dua timbalan perdana menteri.

Enam anggota Jemaah Menteri dari Perak ialah Perdana Menteri yang memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dari Parlimen Tambun dan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Turut dilantik ialah V. Sivakumar sebagai Menteri Sumber Manusia dari Parlimen Batu Gajah, Menteri Sains dan Teknologi Chan Lih Kang (Tanjung Malim), Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (Teluk Intan) dan Menteri Luar Senator Datuk Seri Zambry Abd Kadir.- BERNAMA