Tinjauan Orang Awam mengenai Harapan Terhadap Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekitar Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 04 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Rata-rata orang ramai menaruh harapan tinggi terhadap barisan jemaah menteri baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.

Tindakan Anwar menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan juga dijangka mampu membantu mengukuhkan ekonomi berdasarkan pengalamannya mengemudi kementerian tersebut sebelum ini.

Malah kehadiran Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Kabinet tidak seharusnya menjadi pertikaian, sebaliknya fokus Kerajaan Perpaduan mentadbir negara perlu disokong.

Orang Awam, Abdul Rahim Mohd Nayan bercakap kepada media Malaysia Gazette mengenai Harapan Terhadap Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 04 DISEMBER 2022.

Pekerja swasta, Abdul Rahim Mohd Nayan, 54, berkata, Anwar merupakan figura yang berpengaruh di peringkat global yang diyakini mampu mengubah nasib negara yang dibelenggu ketidakstabilan sebelum ini.

Katanya, beliau tidak mahu kerajaan baharu yang dibentuk ini dikacau pihak lain termasuk pembangkang seperti mana yang berlaku sebelum ini.

“Bagi saya Kabinet baharu ini kita dengar daripada media sosial ada yang tak suka dan ada yang sebaliknya, jadi yang sukanya apa-apa parti pun, fokusnya adalah nak majukan negara, walaupun dalam situasi sekarang agak tergempar macam orang tak suka Kerajaan Perpaduan (dianggotai Ahmad Zahid), fokus kita satu sahaja iaitu majukan negara tak kira siapa duduk dalam tu (merujuk zahid).

“Kalau dia betul-betul yakin boleh majukan negara ke landasan tepat, kami tidak ada masalah dan tak susah nak sokong kerajaan tapi janganlah macam kerajaan yang hanya bertahan 22 bulan sahaja.

“Kalau kita lihat ada tiga orang pemimpin iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, antara tiga ini, yang ada pengaruh luas hubungan di peringkat global adalah Anwar Ibrahim dengan pengalamannya di masa lampau.

“Ini satu bukti cukup meyakinkan khususnya kepada rakyat kita bahawa dia mampu mengembalikan negara ke arah landasan yang tepat,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Ditanya mengenai pengenalan dua muka baharu sebagai Menteri Pendidikan dan juga Menteri Kesihatan, beliau menyatakan tiada salah untuk memberi kepercayaan dua wanita untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

“Saya rasa Anwar sebelum melantik mereka sudah pasti sudah kaji selidik segala latar belakang akademik mereka sama ada boleh perform atau tidak dan pengalamannya sebelum yakin dan memberikan portfolio pendidikan dan kesihatan kepada mereka.

“Cuma di luar itu ramai yang anggap muka baharu tak boleh perform, tapi yakin mereka boleh melaksanakan amanat itu dengan baik,” ujarnya.

Orang Awam, Zulhisyam Ahmad Razali bercakap kepada media Malaysia Gazette mengenai Harapan Terhadap Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 04 DISEMBER 2022.

Pemuzik sambilan, Zulhisyam Ahmad Razali, 42, yang  mengharapkan kerajaan yang stabil berkata, apa yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya ke-15 ditunaikan.

“Saya harap apa yang dituntut oleh rakyat sebelum ini dapat dipedulikan oleh kerajaan baharu pimpinan Anwar,” katanya.

Ditanya mengenai tanggungjawab Anwar sebagai Menteri Kewangan, Zulhisham menjelaskan, beliau tidak ada masalah mengenai isu tersebut asalkan pemimpin dapat membawa pembaharuan yang diinginkan rakyat.

“Rekodnya yang baik sebelum ini, dan saya rasa dia boleh memberikan sesuatu yang baik membaiki ekonomi kita jadi kukuh,” ujarnya.

Orang Awam, Nur Zuraida Muhammad bercakap kepada media Malaysia Gazette mengenai Harapan Terhadap Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 04 DISEMBER 2022.

Ahli perniagaan, Nur Zuraida Muhammad, 57, berpendapat, rakyat mahukan pembaharuan di bawah Kerajaan Perpaduan dan ia boleh dicapai.

“Insya-Allah dia pernah menjadi Menteri Kewangan, beru dia ruang, saya yakin dia boleh kembalikan ekonomi kita kukuh,” ujarnya.

Orang Awam, Muhammad Shazrin Shazwan Abdullah bercakap kepada media Malaysia Gazette mengenai Harapan Terhadap Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 04 DISEMBER 2022.

Pelakon, Muhammad Shazrin Shazwan Abdullah pula mengharapkan pembelaan untuk penggiat seni tempatan agar diberi perhatian.

“Kita beri peluang Anwar dapat memimpin negara dengan baik dan sebagai rakyat biasa kami sokong tapi satu sahaja iaitu janganlah sampai pisang dua kali, itu sahaja. Kalau boleh biarlah dia tadbir dengan baik. Tak nak senario lepas PRU14 berulang lagi.

“Kita mahu kerajaan baharu ini mentadbir negara dengan cantik untuk lima tahun penuh,” katanya. – MalaysiaGazette